Khamis, 19 April 2018 | 5:27pm
KETUA Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali meninjau demonstrasi penggunaan Dsonic Egate di Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) serta Pameran Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2018 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Mesin imbas wajah di pintu masuk negara

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen akan memasang mesin pengimbas generasi baharu dikenali 'Dsonic Egate' yang mampu mengesan sehingga 99.9 peratus ketepatan wajah di pintu masuk utama negara.

Antara lokasi yang akan ditempatkan mesin pengimbas berteknologi terkini itu adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor.

Difahamkan, mesin pengimbas yang dibangunkan Datasonic Group Berhad (DATASONIC) itu akan dibekalkan sebanyak 120 unit dan dipasang secara berperingkat mulai Oktober depan.

Ia akan menggantikan mesin pengimbas biometrik bagi pengesanan cap jari yang mengambil masa sekitar 13 hingga 15 saat berbanding mesin pengimbas wajah itu yang kurang tujuh saat.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata pihaknya dalam peringkat perbincangan dengan DATASONIC bagi memuktamadkan nilai harga serta jumlah mesin berkenaan yang diperlukan.

"Berdasarkan persetujuan awal, syarikat itu akan membekalkan 120 unit mesin Dsonic Egate tetapi jumlah sebenar serta kos pembelian akan dimuktamadkan selepas perbincangan lanjut," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas meninjau demonstrasi penggunaan Dsonic Egate di Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) serta Pameran Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2018 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Mustafar berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk mempertingkatkan sistem sedia ada yang digunakan sesuai dengan kehendak keselamatan semasa.

Katanya, prototaip mesin itu akan dipasang di beberapa lokasi pintu masuk negara untuk ujian bagi melihat keberkesanannya.

"Ini adalah usaha penambahbaikan dan langkah berterusan jabatan serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan sistem keselamatan negara sentiasa dipertingkatkan," katanya.

Terdahulu, Pengarah Eksekutif DATASONIC, Zulkhornain Ranee, dalam sidang media memperkenalkan Dsonic Egate, berkata mesin itu mampu mengesan sebarang bentuk perubahan pada wajah yang diimbas walaupun individu terbabit sudah melakukan pembedahan kosmetik.

Katanya, ciri itu membolehkan mesin berkenaan menjadi alat pengimbas paling canggih akan digunakan Jabatan Imigresen, sekali gus mampu meningkatkan kawalan keselamatan di pintu masuk negara.

"Prototaip mesin ini sudah menjalani ujian awal dan terbukti antara paling canggih di dunia. Malah, ia tidak lagi memerlukan seseorang itu melalui proses pengesanan biometrik atau imbasan cap jari," katanya.

Zulkhornain berkata, berdasarkan perbincangan awal, Dsonic Egate akan dipasang secara berperingkat bermula Oktober depan.

Berita Harian X