Rabu, 18 April 2018 | 7:31pm
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Seri Dr Halim Shafie bersama Presiden Universiti Multimedia (MMU), Prof Datuk Dr Ahmad Rafi Mohamed Eshaq dan Ketua Pegawai Operasi SKMM, Datuk Dr Mazlan Ismail bergambar bersama sukarelawan di majlis pelancaran sukarelawan ICT Malaysia di Cyberjaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Seri Dr Halim Shafie bersama Presiden Universiti Multimedia (MMU), Prof Datuk Dr Ahmad Rafi Mohamed Eshaq dan Ketua Pegawai Operasi SKMM, Datuk Dr Mazlan Ismail bergambar bersama sukarelawan di majlis pelancaran sukarelawan ICT Malaysia di Cyberjaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

SKMM sekat 46 sesawang, nyahaktif 4,618 akaun palsu

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah menyekat 46 laman web dan blog yang dikesan menyebarkan berita palsu.

Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian, Pemantauan Media Baharu, Pematuhan dan Advokasi SKMM, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, berkata pihaknya juga berusaha menyahaktifkan 4,618 akaun palsu media sosial yang digunakan untuk menyebarkan berita palsu.

Ketua Pegawai Operasi SKMM, Datuk Dr Mazlan Ismail, pula berkata, lebih 50 peratus daripada 1,500 berita palsu yang disebarkan menerusi media sosial dan sedang disiasat suruhanjaya itu mengandungi unsur menyerang agensi kerajaan, Melayu dan Islam.

Mazlan berkata, sebahagian besar atau 99 peratus berita palsu yang disebarkan itu dilakukan pihak yang berada di dalam negara.

Beliau berkata, pihaknya menghadapi cabaran bagi mengenalpasti dalang yang menggerakkan 'kilang' mewujudkan berita palsu berkenaan berikutan kebanyakannya menggunakan akaun palsu di alam maya.

"Kalau 'kilang' dahulu memerlukan tempat, contoh macam Red Bean Army, yang ada pejabat dan sebagainya untuk menggerakkan operasi, tapi sekarang ini bukan lagi seperti itu, 'kilang' itu mungkin boleh berada di atas katil di mana-mana sahaja

"Sekarang zaman 'tanpa wayar', tidak perlukan pejabat pun untuk menggerakkan agenda seperti ini, dan masing-masing ada masa sendiri untuk gerakkan operasi. Ini cabaran dihadapi SKMM untuk mengenalpasti dalang yang menggerakkan 'kilang' kepada penyebaran berita palsu ini.

"Ia juga menjadi semakin rumit, apabila pihak yang melakukannya menggunakan akaun palsu, dan sebahagiannya atau 30 peratus daripada 1,500 berita palsu disebarkan ini menggunakan akaun palsu, apabila sudah viral sesuatu isu itu, mereka akan cepat-cepat tutup akaun berkenaan bagi mengelak dijejaki," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Sukarelawan Teknologi Komunikasi Maklumat (MIV) Institusi Pendidikan Tinggi yang disempurnakan Pengerusi SKMM, Tan Sri Dr Halim Shafie di Universiti Multimedia (MMU) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden MMU, Prof Datuk Dr Ahmad Rafi Mohamed Eshaq.

Semalam, menerusi Program Bicara BH bertajuk Internet dan Pilihan Raya, SKMM mendedahkan wujud gerakan tertentu bersembunyi di sebalik media sosial atau Internet, yang aktif menyebarkan dakyah memburukkan kerajaan melalui medium maya itu.

Gerakan itu berperanan seperti 'kilang' untuk mewujudkan berita palsu dengan motif utama mempertikai integriti dan kecekapan kerajaan, selain turut menyasarkan Melayu dan Islam.

Mengulas mengenai penguatkuasaan terhadap penyebar berita palsu, Mazlan berkata, sepanjang tahun lalu, 40 orang sudah disiasat mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan daripada jumlah itu setakat ini, 10 orang sudah didakwa di mahkamah.

Sementara itu, mengulas program sukarelawan MIV yang disertai 50 pelajar MMU di Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di Selangor dan Melaka, Halim berkata, inisiatif yang dijalankan itu diharap dapat membantu komuniti dalam membudayakan penggunaan teknologi digital dalam kehidupan seharian mereka.

"Ini pasti dapat membantu masyarakat dalam memanfaatkan penggunaan teknologi bagi mempertingkatkan kualiti kehidupan mereka. Malah program ini turut memberi manfaat kepada pelajar yang menyertainya," katanya.

Berita Harian X