Sabtu, 14 April 2018 | 9:02pm
MENTERI Pertanian dan Sumber Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (dua dari kanan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Dun Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (kanan) menunjukkan lembu baka Kedah/Kelantan/Kemaman pada Majlis Perasmian Baka Lembu terbabit di Kampung Pasir Gajah. - Foto Rosli Ilham

Kemaman dibangunkan sebagai lembah pedaging

KEMAMAN: Projek ternakan lembu pedaging baka kacukan Kedah/Kelantan/Kemaman yang diperkenalkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mampu melahirkan ramai jutawan dalam kalangan penternak di negara ini.

Menteri Pertanian dan Sumber Asas Tani,Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, daerah ini akan dibangunkan sebagai lembah pedaging baka terbabit yang terulung di negara ini.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 18,000 ekor baka berkenaan diusahakan beberapa penternak di daerah ini dan kementerian menyasarkan 200 penternak pada masa depan.

"Kerajaan membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk mengusahakan ternakan ini yang mampu memberi pulangan lumayan iaitu antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi seekor lembu seberat 400 kilogram (kg).

"Lembu baka ini boleh dijual bila mencapai usia tiga tahun dan bayangkan sekiranya penternak memiliki 200 ekorr,sudah pasti boleh bergelar jutawan," katanya selepas Pelancaran Baka Lembu KKK di Kampung Pasir Gajah, dekat sini, hari ini.

Pada majlis sama, Ahmad Shabery turut menyerahkan replika cek insentif ternakan dan 'homeplot' kepada koperasi Pasir Gajah bernilai RM539,000 serta homeplot dan mesin perinci kepada 50 orang penternak di Kawasan Air Putih.

Hadir sama,Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar; Pengerusi MARDICorp Sdn Bhd, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Quazza Nizamuddin Hassan.

Ahmad Shabery berkata, lembu baka terbabit lebih popular dan digemari pengusaha kerana tahan dengan cuaca tempatan, kadar kematian yang rendah, kelahiran tinggi melebihi 90 peratus setiap tahun serta mampu dibeli dengan harga rendah.

"Hasil penyelidikan MARDI berjaya menghasilkan baka ini yang ditingkatkan sehingga berat maksimun 430 - 460kg bagi baka jantan, manakala 220 - 250 kilogram bagi betina pada usia tiga hingga empat tahun.

"Kadar berat badan baka ini berjaya ditingkatkan 300 gram sehari kepada 450 gram dan ini setanding dengan saiz lembu yang diimport sekali gus boleh memberi pendapatanlumayan kepada penternak," katanya.

"Pemeliharaan secara integrasi di bawah kelapa sawit adalah kaedah terbaik kerana baka ini boleh menunjukkan prestasi baik dengan kos penternakan yang sangat minimum berbanding sistem fidlot," katanya.

Menurutnya, Malaysia masih bergantung kepada ternakan import lain untuk disembelih di negera ini termasuk daging import sejuk beku dari Australia, New Zealand, India dan Thailand.

"Senario ini amat merunsingkan kerana Malaysia terdedah kepada risiko luar kawalan contohnya bencana alam dan faktor ekonomi yang boleh menjejaskan keupayaan negara untuk mengimport di masa depan," katanya.

Katanya, kementeriannya termasuk MARDI sudah melakukan pelbagai startegi untuk meningkatkan bilangan ternakan di negara ini.

"Sejak 1970-an, banyak kajian dijalankan ke atas beberapa baka antaranya Hereford,Charolais, Brahman dan Droughtmaster namun bilangan baka yang diimport dan dikacukkan ini kurang berjaya kerana tidak sesuai dengan persekitaran tempatan," katanya.

Berita Harian X