Isnin, 2 April 2018 | 9:03pm
PEREKA aplikasi Media Prima Digital, Melissa Woo, dinobatkan sebagai tokoh digital pada Anugerah Digital Malaysia (MDA) 2018. - Foto NSTP

Kakitangan Media Prima dinobat tokoh digital

KUALA LUMPUR: Pereka aplikasi Media Prima Digital, Melissa Woo, dinobatkan sebagai tokoh digital pada Anugerah Digital Malaysia (MDA) 2018, baru-baru ini.

Woo yang menghasilkan aplikasi Ejen Ali: M.A.TA. Training Academy dan Eien Ali: Emergency, menerima anugerah Digital Person of The Year.

Malah, satu daripada permainan mudah alih yang dihasilkannya, yang mendapat lebih empat juta muat turun, turut dicalonkan dalam kategori Best Use of Mobile.

Woo yang sudah berkhidmat selama tiga tahun di platform digital Media Prima Berhad itu berkata, beliau terharu dengan pengiktirafan berkenaan.

"Saya amat terharu dan bersyukur dengan sokongan yang diberi semua pihak di Media prima. Kejayaan ini meningkatkan lagi semangat untuk menghasilkan lebih banyak produk digital," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali,

berkata Media Prima mengakui bahawa bakat adalah aset terbesar syarikat itu.

Berikutan itu, katanya, usaha berterusan dibuat untuk menambah nilai dan mengembangkan lagi bakat sedia ada, serta mengiktiraf usaha dan sumbangan kakitangan kepada syarikat.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan, Produk dan Media Prima Labs, Nicholas Sagau, berterima kasih kepada pasukannya yang bekerja keras untuk memenangi kandungan permainan tempatan.

"Di Media Prima, kami sentiasa menggalakkan idea baharu dan dengan mewujudkan persekitaran kerja dinamik antara pasukan sedia ada dan bakat muda, ia membolehkan kami menjadi lebih kreatif dalam industri digital dan media kompetitif ini.

"Hubungan simbiotik ini membolehkan kami memaksimumkan potensi setiap individu, seiring dengan visi syarikat sebagai peneraju 'digital-first content'," katanya.

MDA dianjurkan oleh Persatuan Digital Malaysia bagi menghargai dan mengiktiraf bakat dan jenama dalam bidang teknologi digital.

Berita Harian X