Jumaat, 30 March 2018 | 6:43pm
ALFIAN Abu Talib (tiga kanan), Zulkifli Che Yong (tiga kiri) bersama Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (dua kanan), Jamaluddin Razali (dua kiri) dan Farah Ezrin Mohd Rashidi pada majlis persetujuan kerjasama antara BH dan FELCRA untuk Program Kecemerlangan Peperiksaan 2018 di Galeri Prima, Balai Berita, Bangsar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

ALFIAN Abu Talib (kanan) bersama Zulkifli Che Yong (tengah) dan Jamaluddin Razali (kiri) melawat pameran A Tribute To Life selepas majlis persetujuan kerjasama antara BH dan FELCRA untuk Program Kecemerlangan Peperiksaan 2018 di Galeri Prima, Balai Berita, Bangsar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

FELCRA salur RM1.56 juta jayakan seminar peperiksaan

KUALA LUMPUR: Yayasan FELCRA memperuntukkan RM1.56 juta, bagi menjayakan Seminar Kecemerlangan Peperiksaan 2018 dengan kerjasama The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP).

Menerusi kerjasama dengan akhbar Berita Harian (BH) itu, Yayasan FELCRA akan menganjurkan 20 seminar di seluruh negara untuk calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ahli Lembaga Pengarah Yayasan FELCRA, Zulkifli Che Yong, berkata kumpulan sasaran program berkenaan terdiri daripada pelajar luar bandar dan desa di sekitar kawasan yang diusahakan FELCRA Berhad termasuk kumpulan generasi kedua dan ketiga iaitu peserta dan kakitangan.

"Bagi tahun ini, sebanyak 20 program tajaan penuh diadakan pada 10 lokasi antaranya Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu, Perak, Johor, Kedah, Sabah dan Sarawak.

"Program tahun ini termasuk dua program Klinik UPSR BH Didik dan Seminar SPM BH Skor dengan menyasar 3,400 orang pelajar," katanya.

Beliau berucap ketika majlis penyerahan surat kerjasama seminar berkenaan yang diserahkan kepada Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib, di Balai Berita NSTP di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Kumpulan Pentadbiran & Modal Insan Felcra Berhad, Jamaluddin Razali; Setiausaha Eksekutif Yayasan Felcra, Hashimuddin Hashim; Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengurus Besar Jabatan Vertikal Pendidikan NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran Seminar Kecemerlangan Peperiksaan Yayasan FELCRA-BH 2018 yang akan bermula di lokasi pertama, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub, Pahang, esok.

Zulkifli turut merakamkan ucapan terima kasih kepada NSTP dan BH atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam melaksanakan serta menjayakan program berkenaan.

"Memandangkan program Seminar Kecemerlangan Peperiksaan ini mendapat sambutan dan dilihat memberi impak yang amat berkesan, kami ingin mencadangkan supaya diadakan kolaborasi jangka panjang iaitu tiga tahun dengan kadar kos yang lebih rendah.

"Semoga usaha ini dapat terus memberikan manfaat kepada peserta program dan diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Berita Harian X