Rabu, 28 March 2018 | 4:09pm
TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Pindaan Akta Kanak-Kanak tingkat perlindungan

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu, pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 (AKK 2001) yang dibuat pada 2016 adalah komprehensif bagi melindungi masalah penderaan kanak-kanak di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata pengenalan akta dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkaitan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, akta itu bersesuaian dan turut mengambil kira sensitiviti dalam negara.

"Pindaan AKK 2001 turut mengambil kira kajian undang-undang di luar negara supaya dapat dimasukkan pendapat dan metodologi bagi mengekang perbuatan mendera dan sebagainya dengan lebih berkesan.

"Ini adalah langkah proaktif kerajaan melalui kementerian ini untuk memastikan kanak-kanak dalam negara diberi keutamaan daripada segi pemeliharaan dan perlindungan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bebas-Bandar Tun Razak)

yang meminta penjelasan sama ada kementerian membuat analisis tatacara undang-undang di luar negara seperti di Hong Kong dan Singapura dalam mengekang masalah penderaan dan pencabulan kanak-kanak.

Menjawab soalan asal Abdul Khalid, Azizah berkata, kerajaan mewujudkan akta baharu iaitu Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. bagi menangani kesalahan berunsurkan seksual yang tidak diliputi akta itu,

Katanya, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2017 dipinda pada 2015 bagi melindungi mangsa pemerdagangan orang dan penyeludupan migran dengan lebih komprehensif.

"Antara penambahbaikan AKK 2001 adalah kenaikan penalti bagi kesalahan seperti penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak iaitu tempoh maksimum pemenjaraan dan jumlah denda.

"Turut tersenarai ialah sekatan ke atas kanak-kanak yang terbabit dengan jenayah sama ada pelaku atau mangsa serta penambahbaikan tatacara bagi pesalah kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata, Majlis Kebangsaan bagi kanak-kanak dan pasukan kebajikan kanak-kanak di peringkat daerah turut diwujudkan.

"Daftar Kanak-Kanak turut diperluas meliputi senarai pesalah bagi jenayah membabitkan kanak-kanak.

"Perintah Khidmat Masyarakat (CSO) sebagai hukuman mandatori bagi pesalah ibu bapa atau penjaga yang didapati bersalah serta pembantu pelindung dalam komuniti setempat turut diperkenalkan," katanya.

Menjawab soalan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi), Azizah berkata, kementeriannya bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyenaraikan nama pesalah yang disabitkan kesalahan ke dalam Daftar Kanak-Kanak.

Katanya, majikan yang ingin melantik seseorang ke dalam institusi membabitkan kanak-kanak seperti di sekolah dan taska boleh menghantar nama terbabit untuk semakan kepada Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Ini bagi memastikan pemangsa atau pesalah tidak dilantik dan mengelak masalah penderaan terus berlaku," katanya.

Berita Harian X