Sabtu, 17 March 2018 | 9:17pm
BEBERAPA tapak penggalian yang dilakukan pasukan penyiasat dikenali sebagai Kubur 20 dipercayai tapak kubur pelarian Rohingya yang mati dan dikebumikan di kawasan bukit di Genting Perah, Wang Kelian. - Foto Hafizudin Mohd Safar
BEBERAPA tapak penggalian yang dilakukan pasukan penyiasat dikenali sebagai Kubur 20 dipercayai tapak kubur pelarian Rohingya yang mati dan dikebumikan di kawasan bukit di Genting Perah, Wang Kelian. - Foto Hafizudin Mohd Safar

Badan Peguam gesa RCI kes Wang Kelian

KUALA LUMPUR: Badan Peguam menggesa kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kewujudan kem pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit Wang Kelian Perlis tiga tahun lalu.

Presidennya, George Varughese, berkata siasatan oleh suruhanjaya itu termasuklah berhubung dakwaan antaranya, pembabitan, rasuah dan cubaan menutup kewujudan kem dan kubur besar berkenaan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang serta mengenal pasti dalang terbabit.

Varughese berkata, gesaan itu diluluskan melalui resolusi pada Mesyuarat Agung Tahunan Badan Peguam ke-72 di ibu negara hari ini.

Beliau berkata, Badan Peguam turut menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) untuk menjalankan inkuiri berhubung dakwaan pelanggaran hak asasi dalam kes terbabit dan mengemukakan laporan berhubung siasatan, penemuan dan rumusannya.

Gesaan itu katanya adalah berikutan pendedahan laporan khas yang dibuat akhbar NST pada 20 Disember tahun lalu yang menyatakan terdapat cubaan menyembunyikan secara terancang dan besar-besaran kewujudan kem dan kubur serta kerja siasatan di sekelilingnya.

Katanya, badan itu juga menggesa kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri untuk menambah dan meningkatkan kemahiran pasukan siasatan bagi mengenal pasti, menahan dan mendakwa pihak yang terbabit dalam aktiviti pemerdagangan manusia bagi memantapkan lagi Pasukan Petugas Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).

Sementara itu, Varughese dilantik semula sebagai Presiden Badan Peguam bagi penggal 2018/2019 bersama-sama Abdul Fareed Abdul Gafoor sebagai Naib Presiden.

Terdapat 15 usul dibentangkan pada mesyuarat tahunan kali ini dan daripada jumlah itu dua usul ditarik balik, enam diluluskan manakala tujuh usul tidak dibentangkan.

Varughese berkata, antara usul yang tidak dibentangkan pada mesyuarat kali ini adalah usul mengharamkan hidangan arak dalam semua majlis anjuran Badan Peguam Malaysia dan badan peguam negeri di bawahnya.

"Pada hari ini, usul itu tidak boleh dibincangkan kerana kandungannya (usul) tidak konsisten dengan Akta Profesion Undang-Undang 1976, ...bukannya sebab kita tidak mahu bincangkannya.

"Kami tiada masalah untuk membincangkan perkara itu," katanya.

Turut diluluskan ialah resolusi bagi menghapuskan pelaksanaan hukuman mati di negara ini.

Berita Harian X