Jumaat, 16 March 2018 | 9:12pm

Ekspo Pendidikan Tinggi dua hari di Mid Valley

EKSPO Pendidikan Tinggi 2018 di Midvalley. - Foto NSTP
EKSPO Pendidikan Tinggi 2018 di Midvalley. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Peluang terbuka luas kepada pemegang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi meneruskan pendidikan dalam bidang yang diingini dengan menyertai Ekspo Pendidikan Tinggi 2018 yang berlangsung di Pusat Pameran Mid Valley, di sini, esok.

Penasihat Ekspo Pendidikan Tinggi 2018, Datin Jercy Choo, berkata ekspo berkenaan membolehkan pelajar lepasan SPM dan STPM memilih hala tuju pendidikan mereka untuk menceburi bidang pekerjaan yang diminati.

Katanya, peluang ini turut membolehkan ibu bapa, guru, siswa dan golongan bekerja serta orang ramai untuk mencari peluang pendidikan yang lebih tinggi.

"Ramai antara mereka tidak melepaskan peluang untuk mencari pakej pendidikan terbaik bagi melanjutkan pengajian pra-ijazah dan pasca ijazah.

"Ekspo pendidikan ini adalah platform terbaik untuk semua pertanyaan mengenai kolej dan universiti terkemuka, bidang pengajian, biasiswa dan peluang kerjaya," katanya.

EKSPO Pendidikan Tinggi 2018 di Midvalley. - Foto NSTP
EKSPO Pendidikan Tinggi 2018 di Midvalley. - Foto NSTP

Ekspo bermula esok dan Ahad, serta 24 dan 25 Mac ini, dari 11 pagi hingga 7 malam diadakan bertepatan pada masanya yang membolehkan pelajar lepasan SPM dan STPM merancang pendidikan mereka untuk masa depan.

Mereka yang berkunjung ke ekspo pendidikan ini dapat memperoleh maklumat mengenai program pendidikan terkini yang ditawarkan di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang mengambil bahagian dalam ekspo kali ini.

Antaranya bidang pengurusan hotel, perakaunan, penerbangan, pengajian perniagaan, undang-undang, pengajian komunikasi, kejuruteraan, multimedia dan perubatan, selain beberapa pengkhususan lain yang lebih mudah diikuti seperti bakeri, kecantikan dan dandanan rambut.

Selain itu, ekspo ini turut dijadikan platform kepada semua IPTS untuk mempromosikan program pendidikan masing-masing sekali gus menarik pelajar untuk menyertai mereka.

Pengunjung berpeluang mendapatkan khidmat nasihat daripada ahli pendidikan dan kaunselor mengenai jenis pengkhususan dan bidang akademik yang disediakan di dalam dan luar negara.

Ekspo Pendidikan Tinggi 2018 turut menyalurkan maklumat mengenai Program Subsidi Bayaran oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Hai Qing Programmes selain pengajian menerusi biasiswa.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuklah penajaan dan pinjaman pendidikan, ceramah motivasi dan ceramah kerjaya yang disalurkan terus oleh pakar industri yang berpengalaman.

Berita Harian X