Jumaat, 16 March 2018 | 1:44pm

Pintu tren KLIA transit rosak, penumpang terkandas

PUTRAJAYA: Sebuah tren KLIA Transit menuju KL Sentral mengalami kerosakan pintu dan menyebabkan penumpang terkandas kira-kira satu jam di Stesen ERL Putrajaya/Cyberjaya di sini, hari ini.

Seorang penumpang yang mahu dikenali sebagai Noor, 33, berada dalam tren itu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan tiba ke Stesen ERL Putrajaya/Cyberjaya kira-kira jam 7.50 pagi.

Bagaimanapun, menurutnya, tren itu tidak bergerak selepas 10 minit dan pengumuman dibuat memaklumkan kepada penumpang bahawa berlaku masalah teknikal pada tren itu.

"Semua penumpang menunggu di dalam tren. Ada yang menunggu di luar kerana tren itu sesak dan lembap.

"Kemudian kami dimaklumkan ada tren lain turut mengalami kerosakan. Penumpang dari tren berkenaan dipindahkan ke tren kami. Perkhidmatan disambung semula pada 8.45 pagi," katanya kepada BERNAMA.

Sementara itu, KLIA Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dalam satu kenyataan berkata, tren KLIA Transit pada jam 7.16 pagi menunju ke KL Sentral mengalami kerosakan pintu dan semua perkhidmatan dari stesen terminal dihentikan sementara.

Katanya, ERL memulakan perkhidmatan gabungan untuk kedua-dua perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit bermula 9 pagi.

"Kedua-dua perkhidmatan menyambung semula operasi biasa mulai 9.30 pagi. Pelepasan pertama untuk KLIA Transit dari KL Sentral pada jam 9.33 pagi dan 9.40 pagi untuk KLIA Ekspres.

"Dari klia2, perjalanan biasa untuk KLIA Ekspres adalah pada jam 9.35 pagi dan KLIA Transit pukul jam 9.48 pagi," kata kenyataan itu.

ERL turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku itu. - BERNAMA

Berita Harian X