Jumaat, 16 March 2018 | 10:03am
NOOR Hisham Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
NOOR Hisham Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Tiada imunisasi punca kanak-kanak hidap difteria mati

MIRI: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang meninggal dunia akibat difteria tetapi didakwa dijangkiti virus 'misteri' di Hospital Miri, Rabu lalu, tidak mendapat sebarang suntikan imunisasi penyakit itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kanak-kanak itu didapati tidak mendapat suntikan imunisasi difteria sejak lahir atas permintaan keluarganya.

Beliau berkata, kanak-kanak itu mula mengalami gejala demam, batuk, selesema dan kesukaran bernafas, tujuh hari sebelum meninggal dunia.

"Hasil siasatan Kementerian Kesihatan mendapati kanak-kanak itu tidak diberi suntikan imunisasi disebabkan faktor keagamaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 32 kes positif difteria dilaporkan di seluruh negara membabitkan tujuh kematian, tahun lalu.

Beliau berkata, kebanyakan kes kematian kanak-kanak menghidap difteria membabitkan komuniti yang menolak suntikan imunisasi.

Katanya, suntikan itu diberikan kepada kanak-kanak berusia antara dua hingga lima tahun untuk mencegah serangan penyakit berkenaan.

"Sekiranya kanak-kanak tidak diberikan imunisasi difteria, mereka boleh dijangkiti bakteria Corynebacterium Diphtheriae yang disebarkan melalui titisan cecair pernafasan dan menjangkiti tekak (tonsil serta farinks).

"Bakteria ini akan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan kanak-kanak ini sukar bernafas," katanya.

Beliau berkata, toksin itu boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis).

Katanya, jangkitan difteria mempunyai kadar kematian sangat tinggi.

Justeru, beliau berkata, pemberian imunisasi lengkap mampu mencegah jangkitan itu dan jika dijangkiti, gejala adalah ringan dan tiada komplikasi.

"Oleh itu, ibu bapa dan masyarakat diminta memastikan anak di bawah umur tujuh tahun diberikan imunisasi lengkap.

"Jika terlepas tarikh atau belum mendapat pelalian yang lengkap, segeralah ke klinik kesihatan terdekat untuk mendapatkan imunisasi," katanya.

Beliau berkata, kementerian juga mengingatkan sekiranya ada tanda dan gejala seperti demam, sakit tekak serta kesukaran menelan atau bengkak leher pada anak mereka, perlu segera dibawa berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.

Berita Harian X