Khamis, 15 March 2018 | 1:58pm
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) bergambar bersama guru dan pelajar ketika membuat tinjauan pengumuman keputusan SPM 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad, Padang Terap. - Foto Sharul Hafiz Zam
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) bergambar bersama guru dan pelajar ketika membuat tinjauan pengumuman keputusan SPM 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad, Padang Terap. - Foto Sharul Hafiz Zam

Puas hati peningkatan Gred Purata Nasional (GPN) SPM 2017 - Mahdzir

PADANG TERAP: Kementerian Pendidikan berpuas hati dengan pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 yang diumumkan hari ini apabila Gred Purata Nasional (GPN) menunjukkan peningkatan 4.90 berbanding 5.05 pada 2016.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata peningkatan itu dilihat pada semua mata pelajaran dan paling ketara adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Sejarah.

"Selain itu saya juga turut berpuas hati apabila mata pelajaran sains seperti Fizik, Kimia dan Sains Tambahan menunjukkan peningkatan, cuma bagi subjek Biologi saja berlaku sedikit penurunan.

"Bagaimanapun, laporan terperinci akan diperoleh selepas ini," katanya selepas berkunjung ke rumah seorang pelajar cemerlang SPM 2017 di Kampung Baru, di sini.

Seramai 443,883 calon menduduki peperiksaan SPM 2017 pada tahun lalu di 3,363 pusat peperiksaan seluruh negara.

Terdahulu, Mahdzir turut membuat tinjauan pengumuman keputusan SPM 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad, di sini.

Seramai 12 pelajar di sekolah terbabit mendapat semua A dalam semua mata pelajaran.

Berita Harian X