Khamis, 8 March 2018 | 7:08pm
Orang ramai melihat secara langsung mengenai laporan penyiasatan MH370 yang disampaikan Ketua Penyiasatan MH370, Datuk Kok Soo Chon di RTM TV1. - Foto Ramdzan Masiam

Laporan terperinci MH370 selepas pencarian terkini selesai

KUALA LUMPUR: Laporan terperinci siasatan kehilangan penerbangan Malaysia Airlines MH370 akan dikeluarkan selepas usaha pencarian terkini selesai, empat tahun selepas pesawat malang itu hilang dari radar.

Sehubungan itu, terbitan laporan penyiasatan terperinci iaitu Laporan Keselamatan berdasarkan maklumat sedia ada digantung, sementara menunggu hasil usaha pencarian terkini.

Kenyataan Interim keempat Penyiasatan Keselamatan Untuk MH370 (9M-MRO) yang dikeluarkan hari ini menyebut, sebarang bukti baharu yang ditemui mungkin mempunyai kesan besar terhadap penyiasatan.

"Dalam hal pesawat udara itu ditemui, Pasukan Penyiasatan akan melakukan penyiasatan lanjut.

"Jika pesawat udara itu tidak ditemui dan keputusan diambil untuk menghentikan pencarian, Pasukan Penyiasatan akan menyambung semula persiapan laporan dan mengeluarkannya pada masa depan," kata kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Laporan terbabit dikeluarkan sempena genap empat tahun pesawat MH370 yang membawa 239 orang termasuk 12 anak kru, hilang dari jangkauan radar selepas 40 minit berada di ruang udara ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Kedudukan terakhir yang diketahui bagi pesawat berkenaan ialah 6°55'15 N 103 °34' 43E, sepadan dengan 'waypoint' IGARI dan pesawat berkenaan sepatutnya mengubah laluannya sedikit ke timur.

Pada 10 Januari lalu, Malaysia menandatangani perjanjian dengan Ocean Infinity untuk melakukan pencarian selama 90 hari di kawasan laut dalam yang dianggap lokasi paling berkemungkinan menemui bangkai pesawat terbabit.

Pencarian terbaru bagi pesawat Boeing 777 yang hilang itu dilaporkan bermula pada 19 Januari lalu atas dasar 'tidak jumpa, tiada bayaran', membabitkan 65 anak kapal termasuk dua pegawai dari Tentera Laut Diraja Malaysia sebagai wakil kerajaan.

Setakat ini, kapal pembina Seabed sudah meliputi lebih daripada 16,000 kilometer persegi dalam kawasan 25,000 kilometer persegi yang paling mungkin.

Laporan itu menyebut, bangkai pesawat utama MH370 belum ditemui manakala serpihan pesawat mungkin daripada MH370 masih ditemui di sekitar pantai tenggara benua Afrika dan pulau berhampiran.

"Berdasarkan laporan dalam Penyata Interim yang dikeluarkan tahun lalu, tiga serpihan disahkan milik MH370 ditemui di sekitar pantai tenggara benua Afrika dan kepulauan berhampiran.

"Serpihan berkenaan adalah daripada bahagian flaperon kanan, permukaan luar sayap (outboard flap) kanan dan kiri pesawat berkenaan.

"Beberapa serpihan lain ditentukan hampir pasti daripada MH370 termasuk beberapa barangan dalam kabin. Terdapat aktiviti berterusan untuk mendapatkan semula dan memeriksa serpihan baharu yang ditemui, sama ada milik MH370 atau sebaliknya," katanya.

Berita Harian X