Ahad, 4 March 2018 | 7:15pm
TINJAUAN kerja kerja pembaikan sedang dijalankan distesen LRT Kelana Jaya, yang ditutup sementara berikutan dilanda ribut. - Foto Mahzir Mat Isa
TINJAUAN kerja kerja pembaikan sedang dijalankan distesen LRT Kelana Jaya, yang ditutup sementara berikutan dilanda ribut. - Foto Mahzir Mat Isa

Stesen LRT Kelana Jaya dibuka semula esok

KUALA LUMPUR: Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya, Petaling Jaya akan dibuka semula kepada pengguna pada jam 6 pagi esok.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan hari ini, berkata stesen itu akan kembali beroperasi selepas sebahagian besar kerja baik pulih bumbung di kawasan platform berjaya disiapkan sekitar jam 6 petang tadi.

Ketika ini, katanya, kerja baik pulih terpaksa dihentikan buat sementara waktu kerana hujan lebat di Kelana Jaya.

"Baki kerja baik pulih bumbung stesen di bahagian atas landasan akan bersambung dalam beberapa hari ini selepas waktu operasi, dengan bekalan elektrik di atas landasan akan ditutup sementara.

"Justeru, pengguna diminta mematuhi arahan dan notis yang ditampal di platform stesen. Pengguna diminta menyemak status terkini perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya menerusi akaun media sosial facebook.com/myrapid atau twitter @MyRapidKL.

"Pengurusan LRT Laluan Kelana Jaya ingin merakamkan penghargaan kepada pengguna kerana kesabaran dan sokongan padu mereka," kata.

Stesen LRT Kelana Jaya ditutup kepada pengguna atas faktor keselamatan sejak petang semalam susulan hujan lebat dan ribut kencang antara tengah hari hingga lewat petang semalam di Kelana Jaya, yang menyebabkan sebahagian bumbung stesen itu tercabut dan diterbangkan angin.

Bagaimanapun, tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan ketika kejadian dan perkhidmatan LRT di stesen lain beroperasi seperti biasa.

Sepanjang penutupan stesen itu, bas perantara percuma disediakan untuk membawa penumpang dari Stesen Taman Bahagia ke Stesen Kelana Jaya dan sebaliknya.

Berita Harian X