Ahad, 18 Februari 2018 | 2:50pm
Petugas-petugas Hospital Medan Malaysia di Cox's Bazar, Bangladesh bergambar ketika sambutan kepulangan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Mohd Fadli Hamzah
Petugas-petugas Hospital Medan Malaysia di Cox's Bazar, Bangladesh bergambar ketika sambutan kepulangan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Mohd Fadli Hamzah

"Manisan murah yang menyentuh hati"

SEPANG: Keengganan seorang suami membenarkan isterinya melahirkan bayi kembar secara pembedahan, selepas diterangkan risikonya, adalah antara cabaran dihadapi kumpulan petugas Kementerian Kesihatan ketika berkhidmat di Hospital Medan Malaysia di Cox's Bazar, Bangladesh.

Mengimbas pengalaman itu, Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Keningau, Dr Siti Aishah Tajudin, berkata pada mulanya, wanita Bangladesh terbabit ditemani suaminya yang juga etnik Rohingya, hadir ke hospital berkenaan untuk memeriksa kandungan pada 13 Februari lalu.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Keningau, Sabah, Dr Siti Aishah Tajudin. - Foto Mohd Fadli HamzahMOHD FADLI HAMZAH
Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Keningau, Sabah, Dr Siti Aishah Tajudin. - Foto Mohd Fadli HamzahMOHD FADLI HAMZAH

Beliau berkata, sepanjang tempoh mengandung, wanita berusia 25 tahun itu tidak pernah berjumpa dengan mana-mana doktor dan apabila petugas hospital memeriksanya, ibu muda itu terkejut kerana selama ini bayi dikandung adalah kembar.

"Ketika itu, selain ada tanda bukaan berlaku, perut wanita terbabit juga mengeras dan risiko tali pusat jatuh juga tinggi sekaligus boleh menyebabkan kematian kepada bayi dan ibu sekiranya tidak dirawat dengan betul.

"Kedudukan seorang daripada bayi itu juga melintang. Walaupun pasukan kami sudah memberi penjelasan mengenai risiko yang berkemungkinan boleh terjadi, suami isteri itu tetap enggan melakukan pembedahan," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Kepulangan Petugas Hospital Medan Malaysia untuk Misi Bantuan Kemanusiaan Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Seramai 41 sukarelawan kumpulan ketiga terdiri daripada anggota dan pegawai Kementerian Kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar perubatan pelbagai bidang termasuk pakar bedah, bius, perubatan kecemasan dan trauma, ortopedik, obstetrik dan ginekologi tiba ke tanah air hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya (dua kanan) ketika sidang media sambutan kepulangan petugas-petugas Hospital Medan Malaysia di Cox's Bazar, Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), turut kelihatan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Panglima Angkatan Bersama, Angkatan Tentera Malaysia, Datuk Mohd Reza Mohd Sany (kiri). - Foto Mohd Fadli Hamzah

Hadir sama menyambut kepulangan petugas terbabit, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Siti Aishah berkata, pasangan suami isteri itu akhirnya berjaya dipujuk sebelum pasukannya yang terdiri seramai empat petugas kemudian melakukan pelbagai prosedur dan berjaya mengubah kedudukan bayi terbabit.

"Kira-kira empat jam kemudian, wanita terbabit selamat melahirkan sepasang kembar lelaki dengan berat 1.8 kilogram (kg) dan 2.1 kg secara normal tetapi tidak cukup bulan, namun kami sudah memberikan bayi itu ubat menguatkan paru-paru.

"Ibu dan kedua-dua bayi itu juga sihat, malah suaminya yang sebelum itu enggan memberi kerjasama juga gembira. Mereka mengucapkan terima kasih kepada kami.

"Paling menyentuh hati kami apabila mereka menghadiahkan sekotak manisan yang mungkin tidak mahal harganya, namun penghargaan dan terima kasih itu sangat besar kepada kami kerana sedar mereka bukan golongan berada," katanya.

Ketua Pasukan Kumpulan Ketiga misi bantuan kemanusian kepada pelarian Rohingya, Dr Khairi Kassim. - Foto Mohd Fadli HamzahMOHD FADLI HAMZAH
Ketua Pasukan Kumpulan Ketiga misi bantuan kemanusian kepada pelarian Rohingya, Dr Khairi Kassim. - Foto Mohd Fadli HamzahMOHD FADLI HAMZAH

Ketua Pasukan Kumpulan Ketiga Misi Bantuan Kemanusiaan kepada Pelarian Rohingya, Dr Khairi Kassim, yang juga Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Shah Alam, berkata sepanjang operasi Hospital Medan Malaysia sejak 20 November 2017 hingga 16 Februari lalu, 6,578 pesakit terdiri dengan 51 peratus etnik Rohingya dan 49 peratus warga Bangladesh tampil mendapatkan rawatan.

"Sebanyak 218 prosedur pembedahan dilakukan membabitkan 52 peratus ialah pembedahan am; 24 peratus membabitkan ortopedik dan 24 peratus lagi ialah obstetrik dan ginekologi.

"Pada masa sama, seramai 31 bayi dilahirkan di hospital berkenaan dengan 22 kes pembedahan, lapan dilahirkan secara normal dan satu kes lahir dengan bantuan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kebanyakan pembedahan am yang dilakukan adalah kes hernia dan ia turut membabitkan kanak-kanak.

Berita Harian X