Khamis, 8 Februari 2018 | 3:55pm
 WAN Alhamdulillah Wan Abdul Rahman, 43 menunjukkan kad pengenalan tertera namanya yang menjadi gurauan sesetengah orang namun dia tidak pernah merasa kecil hati malah merasa bangga kerana memiliki nama yang mempunyai maksud yang baik. - Foto Zulkepli Osman
WAN Alhamdulillah Wan Abdul Rahman, 43 menunjukkan kad pengenalan tertera namanya yang menjadi gurauan sesetengah orang namun dia tidak pernah merasa kecil hati malah merasa bangga kerana memiliki nama yang mempunyai maksud yang baik. - Foto Zulkepli Osman

'Alhamdulillah' tak kisah...

KUANTAN: Namanya sering menjadi perhatian, malah bahan gurauan, namun Wan Alhamdullilah Wan Abdul Rahman tidak pernah kecil hati jauh sekali berasa marah.

Ahli perniagaan berusia 43 tahun itu, tidak pernah malu sebaliknya berbangga kerana memiliki nama seunik itu kerana ia mempunyai maksud yang baik walaupun agak janggal bagi sesetengah orang.

Katanya, setiap kali memperkenalkan diri, pasti ada yang akan ketawa dan tidak percaya,malah menganggapnya berseloroh.

"Pelbagai reaksi yang saya terima sejak kecil. Ada yang ketawa, ada yang tidak percaya, malah ada juga yang menganggap saya bergurau, saya sudah biasa dengan keadaan sedemikian.

"Namun, keunikan nama itulah menyebabkan orang lebih mudah mengingati saya dan berkat nama baik sedemikian jugalah menjadikan saya seperti mana hari ini," katanya, di sini, hari ini.

Anak ketujuh dari 11 beradik itu berkata, namanya diberikan oleh seorang ustaz yang merawat ibunya, Mastamah Wartee, 72, yang terjatuh ketika turun daripada bas sewaktu mengandungkannya.

Ketika itu, beliau berkata, ibunya sedang mengandungkannya tujuh bulan dan risaukan keadaan bayi dalam kandungan, arwah bapanya membawa ibunya berjumpa seorang ustaz.

"Mujur kandungan ibu tidak mengalami masalah dan ustaz berkenaan ada berpesan kepada ayah supaya memberikan nama yang baik-baik kepada bayi di dalam kandungan itu.

"Ayah kemudian meminta ustaz itu memberikan satu nama dan beliau meletakkan nama 'Alhamdulillah'," katanya yang memiliki sebuah syarikat teknologi maklumat, di sini.

Wan Alhamdulilah berkata, ahli keluarga memanggilnya Lah, manakala kebanyakan rakan memanggilnya Wan.

Katanya, dalam keluarganya hanya beliau sahaja yang mempunyai nama unik, manakala adik-beradik lain memiliki nama yang biasa didengari.

Bapa kepada empat anak itu juga berkata, Alhamdulillah adalah perkataan Bahasa Arab yang membawa maksud 'segala puji bagi Allah' dan menganggap nama itu mempengaruhi hidupnya selama ini.

"Nama yang baik akan memberi manfaat dan mempengaruh diri kita ke arah kebaikan. Kita patut bersyukur kerana orang memanggil kita dengan maksud yang baik.

"Malah, saya bersyukur ke atas banyak nikmat yang Allah kurniakan, perniagaan saya juga semakin berkembang dan maju," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang berkata, sekarang ini anaknya pula menerima 'tempias' kerana nama uniknya itu apabila seringkali menjadi perhatian guru yang bertanya berkali-kali bagi memastikan nama itu.

Berita Harian X