Rabu, 7 Februari 2018 | 9:15pm

NSTP umum barisan pengurusan kanan menuju transformasi digital

KUALA LUMPUR: The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) mengumumkan barisan pengurusan baharunya sejajar dengan matlamat syarikat penerbitan terbesar negara melaksanakan transformasi untuk menjadi penerbit digital terkemuka.

Mengetuai senarai adalah pelantikan Datuk Yushaimi Maulud Yahaya sebagai Ketua Pengarang NSTP berkuat kuasa 1 Januari 2018.

DATUK Yushaimi Maulud Yahaya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
DATUK Yushaimi Maulud Yahaya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

NSTP dalam kenyataannya berkata, Yushaimi bertanggungjawab ke atas keseluruhan operasi editorial dan penambahbaikan kandungan tiga akhbar Kumpulan NSTP - New Straits Times (NST), Berita Harian (BH) dan Harian Metro (HM) serta produk digital lain.

Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 27 tahun dalam bidang kewartawanan, akan melapor kepada Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Abdul Jalil berkata, Yushaimi akan menumpukan kepada proses mengintegrasikan sumber editorial dan memperkuat akhbar cetak serta digital Kumpulan NSTP.

"Ini selaras pengenalan konsep integrasi berita dengan matlamat mengukuhkan kedudukan NSTP sebagai pembekal berita dan kandungan pilihan dalam menghadapi persekitaran perniagaan yang mencabar," katanya.

Abdul Jalil berkata, perubahan struktur dalam NSTP diperkenalkan untuk meningkatkan kecekapan serta mewujudkan perkhidmatan sokongan yang relevan bagi memenuhi visi menjadi syarikat kandungan dan perdagangan digital utama.

SAIDON Idris. - Foto Mahzir Mat Isa
SAIDON Idris. - Foto Mahzir Mat Isa

"Capaian digital lebih 22 juta kami sepanjang tahun 2017 adalah luar biasa dan kami yakin transformasi bilik berita akan memberi impak pada masa depan," katanya.

Pada 2017, NSTP mencatat peningkatan 100 peratus dalam hasil pengiklanan digital dan langganan FullAMark.

Farah Ezrin Mohd Rashidi dilantik sebagai Ketua Bahagian Pendidikan, yang bertanggungjawab terhadap vertikal pendidikan NSTP, termasuk seminar peperiksaan BH, sisipan dan buku pendidikan, NST's School Times dan Higher Ed serta portal pendidikan interaktif FullAMark.

Barisan pengurusan baharu turut merangkumi Azizi Othman sebagai Pengurus Besar, Perniagaan Digital dan Pembangunan; Sazali Hashim sebagai Ketua Bahagian Pengeluaran; Othman Mamat sebagai Pengarang Eksekutif, Projek Khas dan Fadzlena Jafar sebagai Ketua Bahagian Kandungan, Vertikal Pendidikan.

Saidon Idris pula dilantik Pengarang Eksekutif Kanan, Integrasi yang akan memantau penggabungan meja berita dan kandungan. Beliau akan melapor kepada Yushaimi.

DATUK Ahmad Zaini Kamaruzaman. - Foto Mahzir Mat Isa
DATUK Ahmad Zaini Kamaruzaman. - Foto Mahzir Mat Isa

Dalam penyusunan semula itu, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzaman kini adalah Pengarang Eksekutif BH, bertanggungjawab terhadap jenama BH dan kandungan unik akhbar berkenaan termasuk Unit Khas, Rencana/Op Ed, Hiburan dan Agama/Sastera.

Muzli Md Zin adalah Pengarang Eksekutif NST yang akan bertanggunjawab terhadap kandungan unik akhbar itu, termasuk Probes, Life & Times dan Meja Keluaran Khas, manakala Tuan Mohd Asri Tuan Hussein sebagai Pengarang Eksekutif HM, menjaga kandungan unik akhbar itu termasuk Unit Khas, Rencana, Hiburan, Gen Y dan Vroom.

Thilinadan Muniandy pula dilantik sebagai Pengarang Eksekutif, Integrasi untuk mengetuai unit baharu Integrasi (Berita) manakala Rajan David Christy adalah Pengarang Eksekutif Integrasi (Pengeluaran).

Pelantikan baharu dan perubahan struktur itu adalah sebahagian Pelan Transformasi Odyssey Media Prima untuk menjadikan NSTP sebagai penerbit digital terkemuka dan beralih daripada cetakan kepada model 'digital-first'.

Inisiatif lain yang diperkenalkan NSTP adalah mewujudkan kandungan baharu vertikal, menggabungkan bahan kandungan editorial dengan pembangunan produk digital serta pengurusan jenama. Pendidikan dan Gaya Hidup menjadi kandungan vertikal pertama yang ditubuhkan.

Kandungan vertikal ini diperkenalkan untuk memenuhi landskap baharu perniagaan, menawarkan alternatif nilai tambah baharu dengan pendekatan mesra pelanggan.

Berita Harian X