Selasa, 6 Februari 2018 | 7:43pm

Tawaran biasiswa YDP Agong sudah dibuka

PUTRAJAYA: Permohonan penajaan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong Sesi Pengajian 2018/2019 boleh dibuat dengan mengisi borang secara dalam talian di http://esilav2.jpa.gov.my mulai esok hingga 2 Mac ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan berkata, program penajaan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong mula diperkenalkan pada 2006 khusus kepada calon yang mempunyai prestasi tinggi dalam akademik dan bukan akademik (kokurikulum) untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan Sarjana di dalam atau luar negara.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 12 slot penawaran biasiswa ditawarkan membabitkan enam untuk peringkat PhD dan enam peringkat Sarjana dalam bidang Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-undang serta Kewangan Islam.

"Biasiswa ini untuk mengiktiraf kebolehan luar biasa seseorang calon dengan memberi peluang meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Katanya, pada masa sama, program itu adalah satu bentuk pelaburan Pembangunan Modal Insan yang menyumbang kepada pembangunan masa depan negara.

Keutamaan diberikan kepada calon mendapat keputusan akademik amat cemerlang iaitu CGPA sekurang-kurangnya 3.75 atau kelas pertama atau setaraf dengannya pada peringkat ijazah Sarjana Muda/ Sarjana serta bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan atau menghasilkan kerja kreatif dan inovatif.

Malah, keutamaan juga diberi kepada calon mempunyai keupayaan luar biasa seperti penguasaan pelbagai bahasa dan kebolehan istimewa.

Calon juga perlu mendapat tawaran atau sudah memulakan pengajian di universiti penyelidikan tempatan atau universiti terkemuka dunia yang dipersetujui JPA bagi sesi pengajian 2018/2019.

Mereka yang layak dan berjaya akan disenarai pendek untuk melalui proses pemilihan termasuk temu duga.

Berita Harian X