Isnin, 5 Februari 2018 | 6:02pm

Op Selamat 12, USLR dilancar

HULU SELANGOR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Unit Siasatan Lebuhraya (USLR) di bawah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik untuk khusus menjalankan tugas siasatan kemalangan kecil yang berlaku di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).

USLR yang mula beroperasi pada 7 September 2016 sebagai projek perintis, pada mulanya dianggotai dua pegawai dan lapan anggota sebelum ditambah kepada tiga pegawai dan 63 pegawai rendah berpangkat Sarjan.

Ia merangkumi tiga zon masing-masing iaitu Zon Utara (Perlis - Ipoh), Zon Tengah (Ipoh - Seremban), Zon Selatan (Seremban - Johor Bahru).

Menerusi USLR, pengguna jalan raya yang terbabit dengan kemalangan jalan raya kecil tidak lagi perlu membuat laporan di balai polis berdekatan sebaliknya, diselesaikan di lokasi kejadian atau Pejabat Operasi USLR di zon masing-masing di Hentian Rehat & Rawat (R&R) berhampiran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata penubuhan unit itu mendapat respon positif apabila kajian kepuasan pelanggan berhubung unit ini menunjukkan daripada 400 pengadu, seramai 383 orang iaitu 96 peratus memberi respon 'sangat baik'.

"Saya berharap USLR ini dapat membantu dan mudahkan masalah yang dihadapi pengguna lebuh raya dan akan diperluaskan lagi perkhidmatannya dari masa ke semasa sehingga Sabah dan Sarawak," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Op Selamat 12/2018 Perayaan Tahun Baru Cina di R&R Ulu Bernam, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PLUS Bhd, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim dan Pengarah Eksekutif Prima Merdu Sdn Bhd, Datuk Amer Hamzah Ahmed dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Sharul Othman Mansor.

Op Selamat ke-12 ( Op Selamat 12) sempena perayaan Tahun Baru Cina 2018 adalah kempen keselamatan selama dua minggu bermula 9 Februari sehingga 23 Februari depan, mengekalkan tema Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi

Mohamad Fuzi, berkata objektif operasi Op Selamat 12 masih sama, iaitu mencegah jenayah pecah rumah dengan menekankan keselamatan harta benda dan rumah yang ditinggalkan sepanjang tempoh bercuti serta meminimumkan kemalangan jalan raya ketika musim perayaan.

"Antara pendekatan yang diambil bagi menjayakan Op Selamat kali ini adalah menyusun strategi dalam melancarkan lalu lintas, menurunkan kadar kemalangan maut serta jenayah pecah rumah ke tahap paling minimum.

"Tumpuan akan diberikan kepada kontinjen dan daerah yang mencatatkan kemalangan maut yang tinggi, selain meningkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan perumahan," katanya.

Mohamad Fuzi berkata, berdasarkan statistik kemalangan Op Selamat 10 sempena Tahun Baru Cina 2017, jumlah kemalangan menunjukkan peningkatan sebanyak 1,180 kes atau enam peratus berbanding 2016.

"Bagaimanapun, kadar kemalangan maut dan jumlah kematian menunjukkan penurunan ketara, masing-masing 26 kes dan 22 kes.

"Penunggang dan pembonceng motosikal masih kekal mendominasi angka kematian tertinggi dengan 151 kematian," katanya.

Katanya lagi, jelas Op Selamat berjaya menurunkan jumlah kemalangan maut, namun peningkatan jumlah kemalangan seiring dengan peningkatan jumlah kenderaan.

TAN Sri Mohamad Fuzi Harun bersama Asisten Komisioner Shahrul Othman Mansur (kiri), Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim (dua dari kanan) dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman pada Majlis Pelancaran Ops Selamat ke 12 sempena Tahun Baru Cina 2018 di Kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Ulu Bernam. - Foto Saddam Yusoff
TAN Sri Mohamad Fuzi Harun bersama Asisten Komisioner Shahrul Othman Mansur (kiri), Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim (dua dari kanan) dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman pada Majlis Pelancaran Ops Selamat ke 12 sempena Tahun Baru Cina 2018 di Kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Ulu Bernam. - Foto Saddam Yusoff
Berita Harian X