SEREMBAN: Semua guru diminta peka jika mendapati murid dan pelajar berubah sikap bagi mengelak kejadian buruk berlaku.
Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon, berkata jika guru menyedari murid kemurungan, berubah menjadi pendiam atau terdapat kesan kecederaan, maka mereka perlu mendekati murid terbabit.
Katanya, pada masa sama, guru diminta mengenal pasti punca perubahan dan kecederaan sebelum melaporkan kepada pihak berwajib.
"Berdasarkan beberapa kes yang dilaporkan, kemungkinan terdapat murid didera ibu bapa atau dibuli rakan. Oleh itu, guru adalah individu penting yang perlu mengambil tahu masalah mereka," katanya selepas menghadiri Program Tahun Baru Cina anjuran Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO), di sini, hari ini.
Majlis disempurnakan Yang Dipertua NSWO, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujmudin, yang juga isteri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kematian murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Lukut, Port Dickson, Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, yang didera bapa kandung dan ibu tiri di Taman Vista Jaya, Lukut pada Khamis lalu.
Nur Aina Nabihah meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), selepas tidak sedarkan diri di rumahnya akibat penderaan dilakukan bapanya.
Hasil bedah siasat mengesahkan kanak-kanak itu rosak buah pinggang, usus koyak, tulang rusuk kanan dan kiri patah, dipercayai dipukul dengan objek tumpul.
Akhbar ini turut melaporkan kerusi dan tali pinggang antara barang digunakan bapa mangsa untuk memukulnya selain kanak-kanak itu ditendang dan dipijak hingga terkencing.
Sehubungan itu, polis menahan suspek berusia 35 tahun serta isterinya berusia 34 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Chong berkata, pihaknya buat masa ini masih menunggu hasil siasatan polis sepenuhnya sebelum tindakan diambil.
"Sebaik siasatan selesai, pihak kementerian akan mengadakan perbincangan dalaman untuk tindakan lanjut," katanya.