Selasa, 30 Januari 2018 | 5:04pm
SEMBILAN pendaki termasuk dua wanita dari Kelab Jelajah Alpine meraikan kejayaan menawan gunung tertinggi di Indochina iaitu Gunung Fansipan, Vietnam pada ketinggian 3,143 meter dari paras laut.
SEMBILAN pendaki termasuk dua wanita dari Kelab Jelajah Alpine meraikan kejayaan menawan gunung tertinggi di Indochina iaitu Gunung Fansipan, Vietnam pada ketinggian 3,143 meter dari paras laut.

9 pendaki tawan puncak Gunung Fansipan

KUALA LUMPUR: Seramai sembilan pendaki termasuk dua wanita dari Kelab Jelajah Alpine berjaya menawan gunung tertinggi di Indochina iaitu Gunung Fansipan, Vietnam pada ketinggian 3,143 meter dari paras laut, pada jam 7.15 pagi tadi waktu tempatan.

Presidennya, Mohamad Illaham Ishak, berkata kumpulan itu memulakan pendakian dari Middle Camp 2800 pada jam 4.30 pagi dengan cuaca sejuk mencecah -4 darjah celcius dan sampai ke puncak tiga jam selepas itu.

Katanya, sebelum itu semua pendaki memulakan pendakian dari pos permulaan iaitu di Tram Ton, Sapa, semalam dan mengambil masa kira-kira enam jam untuk sampai ke kem seterusnya.

"Walaupun pendakian kali ini singkat, tetapi pelbagai cabaran perlu ditempuh memandangkan ia dilakukan ketika musim sejuk, cuaca tidak menentu, laluan sukar serta tiupan angin kencang mencecah 30 hingga 40 kilometer sejam.

"Ketika di Middle Camp 2800, kami juga dikejutkan dengan kejadian ribut, angin kencang dan disusuli hujan lebat.

"Kami diberitahu oleh jurupandu bahawa beliau tidak pernah berdepan kejadian seumpama ini yang hampir menerbangkan bumbung rumah perkhemahan mereka," katanya.

Beliau berkata, kejadian itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus melakukan pendakian dan menawan puncak gunung berkenaan.

"Persediaan mental dan fizikal perlu ada pada setiap ahli kerana pasti akan ada cabaran lebih hebat untuk mendaki gunung yang lain," katanya.

Pendakian ini juga antara program latihan sebelum mendaki di tujuh puncak tertinggi di tujuh benua selain ia membawa misi keamanan dunia khas untuk Palestin.

Ia turut disertai oleh Penyelaras Eksekutif Foto Abdul Rahim Rahmat dari The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X