Sabtu, 27 Januari 2018 | 12:52pm
NOORJAHAN Sultan mengharumkan nama negara apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Pearson ELT Teacher, kategori Asia dan Ocenia 2018.- Foto ihsan Kementerian Pendidikan Malaysia
NOORJAHAN Sultan mengharumkan nama negara apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Pearson ELT Teacher, kategori Asia dan Ocenia 2018.- Foto ihsan Kementerian Pendidikan Malaysia

Noorjahan menang anugerah guru antarabangsa

KUALA LUMPUR: Guru prasekolah yang juga pengasas modul bacaan berirama mudah untuk murid prasekolah belajar Bahasa Inggeris 'Let Rhyme', Noorjahan Sultan mengharumkan nama negara apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Pearson ELT Teacher, kategori Asia dan Ocenia 2018.

Kementerian Pendidikan, dalam satu kenyataan, berkata pengiktirafan itu membabitkan program pencarian guru bahasa Inggeris terbaik antarabangsa.

Katanya, program itu termasuk empat kategori lain iaitu, Afrika dan Asia Barat; Eropah dan Asia Tengah; Utara dan Amerika Tengah serta Amerika Selatan.

"Kesemua pemenang akan ditaja sepenuhnya ke Glasgow, Scotland untuk menghadiri persidangan Organisasi Kebangsaan Guru Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Asing (IATEFL) dan Pengajaran Bahasa Inggeris Kepada Penutur Bahasa Lain (TESOL) pada 10 hingga 13 April, depan," kata kenyataan itu.

Noorjahan dalam kenyataan sama, berkata beliau bersyukur dan gembira terpilih memenangi anugerah itu sekali gus, berjaya menewaskan 38 calon lain dari rantau Asia dan Ocenia.

"Saya yakin guru tempatan akan menghasilkan pelbagai kaedah pengajaran dan inovasi pendidikan terbaik kepada murid di negara ini, sekali gus bersedia menjulang pendidikan negara menjadi satu pertiga teratas dalam sistem pendidikan terbaik dunia," katanya.

Noorjahan, 44, berkata pengajaran Bahasa Inggeris akan mudah dikuasai dengan cara mencetuskan keseronokan terhadap mata pelajaran itu.

Katanya, teknik bacaan berirama menyebabkan beliau bukan saja berjaya meningkatkan kemahiran murid lemah Bahasa Inggeris untuk bersaing dengan murid lain tetapi turut membuahkan kepuasan untuknya mengajar.

"Murid-murid tidak sabar menunggu saya untuk belajar Bahasa Inggeris dan perasaan itulah yang memberi kepuasan kepada saya sebagai guru Bahasa Inggeris," katanya.

Faktor berjaya mencetuskan minat dalam Bahasa Inggeris, turut menjadi punca kemenangan beliau dipilih juri untuk menerima anugerah berprestij itu.

Noorjahan turut menerima undian awam dalam talian tertinggi bagi kategori sama iaitu sebanyak 6.029 undian.

Bagaimanapun, kategori undian itu dibatalkan penganjur berikutan dakwaan orang awam 'tidak kisah' terhadap proses undian melalui kaedah atas talian.

Noorjahan, berpengalaman 22 tahun dalam bidang Bahasa Inggeris pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota Utama (SKIMU), memperkenalkan formula tersendiri mengandungi 40 tema berasaskan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan untuk kanak-kanak minat Bahasa Inggeris menerusi pendengaran, pertuturan, membaca dan menulis selain memperbaiki tatabahasa, ejaan serta sebutan murid.

Beliau mengasaskan modul meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris terutama bagi murid prasekolah menerusi kaedah 'Let Rhyme' (bacaan berirama), yang melayakkannya mendapat pengiktirafan tersenarai 50 guru dari seluruh dunia untuk Hadiah Guru Global 2016.

Beliau kini berkhidmat sebagai pegawai Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Pahang turut dinobatkan sebagai Ikon Guru Kebangsaan 2016.

Senarai pemenang dan maklumat berkaitan boleh dilayari di www.pearsonelt.com/teacher-award/2018-winners.html

Berita Harian X