Khamis, 25 Januari 2018 | 6:58pm
Aminah Bidin, 54, dan anak Zalina Md Razak 25, dari kampung Banggol Jas menunjukkan cek yang diterima daripada PERKESO. - Foto Nor Raidah Awang
Aminah Bidin, 54, dan anak Zalina Md Razak 25, dari kampung Banggol Jas menunjukkan cek yang diterima daripada PERKESO. - Foto Nor Raidah Awang

Dapat pampasan PERKESO selepas 19 tahun suami meninggal

SELAMA: "Mak cik tak mampu nak cakap apa-apa, berlinang air mata melihat jumlah cek bernilai RM66,837.73," kata Aminah Bidin, 54.

Beliau dari Kampung Banggol Jas, di sini menerima cek berkenaan daripada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berikutan kematian suaminya, Md Razak Md Ali, 19 tahun lalu.

Ibu tunggal kepada tiga anak itu yang akan turut menerima pencen bulanan RM475 seumur hidup, mengakui tidak pernah terfikir akan mendapat wang sebanyak itu selepas kematian suaminya kerana masalah paru-paru berair pada tahun 1999.

"Selepas suami meninggal dunia, mak cik meneruskan hidup dengan melakukan pelbagai kerja untuk menyara tiga anak ketika itu yang masih kecil termasuk mengambil upah mengupas udang.

"Waktu itu, kami sekeluarga terpaksa menahan perut, makan pun berjimat seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang', tetapi saya bersyukur anak-anak memahami penderitaan ketika itu.

"Hari ini, menjadi sejarah dalam hidup mak cik apabila derita yang dialami selama ini ada hikmah ujian Allah di sebaliknya," katanya.

Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK),Datuk Faizul Arby Mohd Shohor (dua kanan) menyampaikan cek sumbagan PERKESO kepada Aminah Bidin,54, di kampung Banggol Jas. - Foto Nor Raidah Awang
Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK),Datuk Faizul Arby Mohd Shohor (dua kanan) menyampaikan cek sumbagan PERKESO kepada Aminah Bidin,54, di kampung Banggol Jas. - Foto Nor Raidah Awang

Beliau ditemui selepas menerima cek berkenaan yang diserahkan oleh Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Faizul Arby Mohd Shohor di Pejabat UMNO Bahagian Larut, di sini hari ini.

Aminah yang ditemani anak bongsunya, Zalina Md Razak, 25, berkata, beliau hanya mengetahui arwah suaminya ada membuat caruman PERKESO ketika program Jom Bantu Rakyat anjuran pihak Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selama.

"Syukur kerana dengan wang ini dapat saya lakukan apa yang patut untuk arwah suami, selebihnya saya akan membuka sebuah kedai runcit untuk saya dan anak-anak," katanya.

Sementara itu, Pengurus PERKESO Taiping, Rafidah Abd Rahim berkata, Aminah akan turut menerima pencen bulanan RM475 seumur hidup.

Berita Harian X