Rabu, 24 Januari 2018 | 7:14pm
Timbalan Pengerusi Gerakan Islam Baitulmaqdis, Sheikh Dr Kamal Khateeb (kiri). - Foto Sairien Nafis

MyAQSA kutuk penahanan dua tokoh Baitulmaqdis

mohdaizat2bh.com.my

KUALA LUMPUR: Yayasan MyAQSA mengutuk tindakan tentera Israel yang menahan dua tokoh utama Aqsa dan Baitulmaqdis.

Tokoh terbabit ialah Timbalan Pengerusi Gerakan Islam Baitulmaqdis, Sheikh Dr Kamal Khateeb dan Pengarah Harta Wakaf dan Akademi Warisan Masjidil Aqsa, Sheikh Dr Najeh Daod Ahmad Bkirat.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MyAQSA, Dr Noorazman Mohd Samsuddin, berkata tentera Israel dilaporkan menyiasat dan menggeledah rumah mereka selama lebih dua jam di Baitulmaqdis semalam serta dikenakan tahanan rumah selama sebulan.

"Kedua-dua mereka mengesahkan kehadiran sebagai peserta Persidangan Meja Bulat MyAQSA yang akan bermula Jumaat ini di Putrajaya.

"Difahamkan, mereka dilarang untuk hadir ke Persidangan Meja Bulat MyAQSA kerana bagi Zionis Israel program ini adalah satu bentuk ancaman kepada mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Noorazman berkata, tindakan menghalang delegasi untuk hadir ke Persidangan Meja Bulat MyAQSA adalah bertentangan dengan hak asasi manusia.

"Seluruh dunia wajar mengutuk dan mengecam tindakan biadap yang tidak bertamadun ini.

"Kami menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bangkit menzahirkan bantahan mereka terhadap kezaliman berterusan tentera Zionis Israel ini.

"Orang ramai diajak untuk menunjukkan solidariti kepada perjuangan pembebasan Baitulmaqdis dengan hadir beramai-ramai ke Himpunan Munajat Aqsaku yang akan berlangsung pada hari Sabtu ini Dataran Putrajaya, Putrajaya," katanya.

Berita Harian X