Ahad, 21 Januari 2018 | 3:05pm
TIMBALAN Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharum (tengah) meraikan 56 pelajar dari Kubang Pasu yang akan melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Jitra, hari ini. - Foto Noorazura Abdul Rahman
TIMBALAN Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharum (tengah) meraikan 56 pelajar dari Kubang Pasu yang akan melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Jitra, hari ini. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Graduan perlu buktikan penghinaan Dr Mahathir salah

JITRA: Graduan tempatan perlu menjadikan penghinaan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada mereka sebagai cabaran, sekali gus membuktikan kritikan pemimpin pembangkang terbabit salah.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharum, berkata graduan yang bijak adalah mereka yang mampu mencipta kerjaya sendiri, biarpun hanya menjual nasi lemak atau menjadi pemandu Uber.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu, menyifatkan kritikan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sangat tidak relevan kerana memperlekehkan kerja sampingan yang dilakukan golongan muda.

"Tak perlulah hina mereka, ada yang melihat graduan ini hanya menjual burger jalanan pada waktu malam, namun waktu siang mereka mungkin melakukan kerja lain untuk menambah pendapatan mereka.

"Jadi graduan tak perlu ambil hati, apa saja yang mendatangkan pendapatan, lakukan sahaja asalkan ia halal.

"Graduan yang bekerja sendiri ini lebih baik daripada yang makan gaji, jika menjual nasi lemak sekalipun saya rasa pendapatan mereka lebih tinggi daripada mereka yang makan gaji," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis meraikan 56 pelajar dari Kubang Pasu yang akan melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini, hari ini.

Johari berkata, biarpun graduan ini memulakan perniagaan secara kecil-kecilan, namun mereka akan tetap menjadi sebahagian daripada penyumbang ekonomi negara.

Katanya, graduan yang bijak mencari pendapatan sendiri ini harus dipuji kerana mampu berdikari, selain dapat menghindarkan diri daripada aktiviti tidak sihat.

"Graduan yang bekerja sendiri sudah berada di landasan yang betul, mereka bersama-sama membangunkan negara.

"Selain itu, mereka ini sekurang-kurangnya tidak menambah beban keluarga dengan terbabit dalam masalah sosial seperti pengambilan dadah,"katanya.

Baru-baru ini, Mahathir menyatakan bahawa peningkatan jumlah graduan tidak bekerja berdasarkan apa yang dipelajari secara akademik membuktikan kegagalan kerajaan dalam menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Ia sekali gus menyebabkan ramai graduan terpaksa bekerja sebagai pemandu untuk syarikat perkongsian kenderaan seperti Uber atau menjual nasi lemak.

Berita Harian X