Sabtu, 20 Januari 2018 | 12:55pm
NAJIB mengibarkan bendera BN pada majlis pelancaran Sahabat Puteri BN (Azalea 2018) di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
NAJIB mengibarkan bendera BN pada majlis pelancaran Sahabat Puteri BN (Azalea 2018) di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
NAJIB hadir ke majlis pelancaran Sahabat Puteri BN (Azalea 2018) di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
NAJIB hadir ke majlis pelancaran Sahabat Puteri BN (Azalea 2018) di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

BN parti terbaik - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu rakyat memiliki kesedaran politik berdasarkan perhitungan bahawa Barisan Nasional (BN) berjaya melaksanakan mandat politik untuk kekal menjadi parti pemerintah terbaik.

Perdana Menteri turut menegaskan pihak yang mengambil bahagian dalam proses politik negara mesti mempunyai tujuan dan prinsip perjuangan yang jelas demi menjayakan pembangunan negara secara bersama.

"Kita mesti ada kesedaran politik berdasarkan kepada perhitungan kita bahawa parti dan pihak yang terbaik untuk masa kini dan masa akan datang untuk negara tidak lain adalah BN.

"Hari ini kita lihat Malaysia sedang menjurus kepada masa depan yang jauh lebih baik. Kita mempunyai aspirasi dan impian besar. Lihat sajalah Malaysia hari ini dengan nilai ringgit semakin hari semakin kukuh, bertambah kepada 50 sen berbanding dolar Amerika Syarikat dalam masa setahun.

"Kita boleh lihat kadar pertumbuhan negara mencatatkan 6.2 peratus pada suku ketiga tahun lalu dan kita boleh lihat Bajet 2018, bagaimana kita memperuntukkan begitu besar pembangunan dan program baharu yang akan bawa negara kita ke arah kejayaan lebih gemilang," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Sahabat Puteri BN (Azalea 2018) di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana, di sini, hari ini.

NAJIB bersama tetamu mengibarkan bendera ketika menyanyikan lagu BN pada majlis pelancaran Sahabat Puteri BN (Azalea 2018) di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aizuddin Saad
NAJIB bersama tetamu mengibarkan bendera ketika menyanyikan lagu BN pada majlis pelancaran Sahabat Puteri BN (Azalea 2018) di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Pengerusi Azalea 2018 merangkap Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan pemimpin parti komponen BN.

Najib yang juga Pengerusi BN, turut menitipkan tiga pesanan kepada Puteri BN dalam usaha memperkukuhkan gerak kerja jentera parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pertama, Presiden UMNO itu mahu Puteri BN bergerak dan berjuang dalam satu barisan yang padu, kukuh dengan mengamalkan budaya kerja sepasukan, sekali gus mengingatkan pergerakan supaya tidak bergerak dalam kelompok tertentu .

Kedua, beliau mahu Puteri BN berjuang dengan hati dan niat ikhlas kepada parti dan negara selain idealisme generasi muda yang tidak tercemar dengan kepentingan material dan kepentingan diri sendiri

"Ketiga, berjuanglah dengan penuh keyakinan bahawa kita berjuang untuk membina masa depan dan memenuhi harapan rakyat, kita sudah ada rekod pencapaian cemerlang, kita membina negara yang aman dan stabil, kita membawa banyak kemajuan dan transformasi.

"Kita boleh menjaga keselamatan negara, tidak ada ancaman yang mendatangkan mudarat pada rakyat kerana usaha kerajaan. Kita (juga) mempunyai agenda dan mampu melaksanakan agenda Transformasi Nasional.

"Beza kita dengan pembangkang, 'untested coalition' (pakatan belum teruji), mereka curiga antara satu sama lain, rakyat tidak boleh menaruh harapan pada mereka melainkan dengan BN," katanya.

Selaku Pengerusi BN, Najib turut menegaskan walaupun penubuhan Puteri BN tidak termaktub dalam Perlembagaan parti, secara de facto pergerakan itu wujud dan hakikatnya perhimpunan hari ini adalah cerminan kepada kewujudan Puteri BN.

Sementara itu, Perdana Menteri yakin nama bunga Azalea yang mempunyai 10,000 variasi menjadi simbolik kepada kepelbagaian kaum dan kumpulan etnik yang bersatu di bawah panji BN.

Berita Harian X