Jumaat, 19 Januari 2018 | 10:59pm
 PENGERUSI Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Dr Noor Zari Hamat (hadapan lima kiri) dan Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah (hadapan lima kanan) bersama penerimaan anugerah Tokoh Koperator JPAN WP di Majlis makan malam silaturahim ANGKASA Wilayah Persekutuan di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur. - Foto Salhani Ibrahim
PENGERUSI Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Dr Noor Zari Hamat (hadapan lima kiri) dan Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah (hadapan lima kanan) bersama penerimaan anugerah Tokoh Koperator JPAN WP di Majlis makan malam silaturahim ANGKASA Wilayah Persekutuan di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur. - Foto Salhani Ibrahim

Pembiayaan mudah untuk koperasi kembang perniagaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia terus komited membangun dan meningkatkan pencapaian koperasi ke tahap yang lebih tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata pelbagai insentif diperkenalkan bagi mendorong dan menggalakkan koperasi mengembangkan perniagaan.

Hamzah berkata, antara kemudahan yang disediakan, termasuk pembiayaan mudah melalui Tabung Modal Pusingan TMP - JPK, bantuan pembangunan koperasi, khidmat nasihat dan bimbingan serta program pengembangan pendidikan dan latihan.

Katanya, bagi mengukuhkan tindakan ke arah pencapaian sasaran perolehan RM 50 bilion menjelang tahun 2020, peneraju sektor dalam kalangan koperasi diwujudkan.

"Bagi memperkasa koperasi, kerajaan melaksanakan program Mentoring and Coaching melalui kerjasama dalam kalangan koperasi.

"Melalui program ini, koperasi yang dikenal pasti berjaya menjalankan perniagaan akan menjadi pembimbing kepada koperasi lain," katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Dr Noor Zari Hamat sempena Majlis Makan Malam Silaturahim Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Wilayah Persekutuan 2018.

Turut hadir Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Wilayah Persekutuan, Zulkifli Jamaludin.

Hamzah berkata, sebagai badan puncak gerakan koperasi negara, ANGKASA harus memainkan peranan penting dalam menyatukan dan mewakili gerakan koperasi di peringkat nasional dan antarabangsa.

Malah beliau yakin dengan kecekapan dan keupayaan ANGKASA mengendali dan menyediakan perkhidmatan kepada anggota.

"Menerusinya diharap dapat membawa koperasi Malaysia lebih dikenali di peringkat antarabangsa," katanya.

Berita Harian X