Ahad, 14 Januari 2018 | 3:27pm
TIMBALAN Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Sadique (Kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday (tengah) meninjau tapak pelupusan sampah Ladang CEP, Renggam, Kluang, hari ini. - Foto Adnan Ibrahim
TIMBALAN Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Sadique (Kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday (tengah) meninjau tapak pelupusan sampah Ladang CEP, Renggam, Kluang, hari ini. - Foto Adnan Ibrahim

Benteng pemisah pecah cemari Sungai Benut

KLUANG: Tapak Pelupusan Sampah Ladang CEP, Renggam, dekat sini, diarah tutup dua minggu bermula hari ini, berikutan satu benteng pemisah di kawasan itu pecah hingga berlaku pencemaran air di Sungai Benut, pagi semalam.

Ia adalah kali kedua masalah itu berlaku dalam tempoh enam bulan yang menyebabkan kandungan ammonia dalam air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam meningkat, memaksa operasi rawatan air mentah dihentikan sementara.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Sadique, berkata arahan itu dibuat bagi membolehkan SWM Environment Sdn Bhd membaiki benteng pemisah sampah yang pecah.

"Ia bertujuan menghalang limpahan air larutan resapan daripada mengalir ke Sungai Benut yang menjadi sumber air mentah utama kira-kira 7,000 penduduk Simpang Renggam.

"Penutupan Tapak Pelupusan Sampah Ladang CEP, Renggam sehingga 28 Januari ini bermakna Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) tidak dibenar menghantar sampah ke sini.

"Kementerian mengarahkan SWM Environment mengambil alih kerja penghantaran sampah ke Tapak Pelupusan Sampah Seelong, Senai yang jaraknya kira-kira 75 kilometer dari sini.

"SWM Environment turut dikenakan penalti dan diarah menanggung bayaran yuran pungutan bernilai RM49,000 dan yuran pengangkutan RM100,000 yang sebelum ini ditanggung PBT terbabit.

"Jika SWM gagal membaiki benteng berkenaan dalam tempoh dua minggu seperti ditetapkan, penalti akan berjalan secara harian dan ditanggung mereka, " katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak pelupusan sampah Ladang CEP, Renggam, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday dan Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Ismail Mokhtar.

Kandungan ammonia yang tinggi di punca air mentah Sungai Benut menyebabkan LRA Simpang Renggam menghentikan sementara proses rawatan air.

Keadaan itu menyebabkan kira-kira 7,000 penduduk Simpang Renggam terjejas bekalan air lebih enam jam semalam.

Sementara itu, Halimah berkata, SWM Environment turut diarah menutup bahagian longgokan sampah di kawasan tinggi serta kritikal dengan plastik khas.

Katanya, ia bagi menghalang limpahan air larutan resapan mengalir keluar dari kolam takungan khas berikutan musim hujan kebelakangan ini.

"Kementerian juga sudah melantik perunding bagi memantau kerja pembaikan benteng yang pecah kerana tidak mahu perkara ini berulang hingga menjejaskan bekalan air penduduk," katanya.

Berita Harian X