Khamis, 11 Januari 2018 | 5:40pm
(DARI kiri) Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Nordin Daharom hadir pada majlis pelancaran Pendaftaran Pengurus Harta mengikut pindaan Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah (Pindaan) 2017 (Akta 242), hari ini. - Foto Halim Salleh
(DARI kiri) Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Nordin Daharom hadir pada majlis pelancaran Pendaftaran Pengurus Harta mengikut pindaan Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah (Pindaan) 2017 (Akta 242), hari ini. - Foto Halim Salleh

KPKT tampung kos selenggara rumah kos rendah

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM180 juta tahun ini untuk kos penyelenggaraan perumahan kos rendah dan sederhana di Selangor.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata jumlah itu adalah 60 peratus daripada keseluruhan peruntukan RM300 juta bagi kegunaan itu yang diumumkan dalam Bajet 2018 untuk seluruh negara kecuali Kuala Lumpur.

Beliau berkata kos tinggi itu untuk membantu rakyat yang menghuni perumahan berkenaan yang mengalami pelbagai masalah penyelenggaraan serta tidak diurus dengan baik.

Katanya, dalam tinjauannya, keadaan perumahan kos rendah dan sederhana di Selangor sangat tidak memuaskan, termasuk masalah lif rosak, tiada kemudahan membawa jenazah, kebocoran atap serta cat yang sudah lusuh.

"Bayangkan bangunan rumah pangsa 16 tingkat hanya disediakan dua lif tetapi sudah rosak, malah lebih teruk situasi 'jenazah berdiri' iaitu (mayat) terpaksa diusung dalam keadaan berdiri kerana ruang lif yang sangat sempit.

"Walaupun projek perumahan itu di bawah kerajaan Selangor, KPKT sentiasa membantu demi kepentingan rakyat," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pendaftaran Pengurus Harta mengikut pindaan Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah (Pindaan) 2017 (Akta 242), hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Nordin Daharom.

Sementara itu, Noh turut mengalu-alukan orang ramai menyertai penganjuran World Urban Forum Februari tahun depan.

Katanya, World Urban Forum ke-9 (WUF9) memilih Kuala Lumpur sebagai bandar kedua di Asia yang bakal menjadi tuan rumah selepas Nanyang, China pada tahun 2008.

"Kami menyasarkan 25,000 penyertaan dari seluruh negara bagi menjayakan acara global yang dijadualkan berlangsung selama seminggu," katanya.

WUF9 adalah forum yang pertama diadakan selepas Post 2015 Development Agenda Process dan Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Perumahan dan Pembangunan Bandar Lestari (Habitat III) yang diadakan pada tahun 2016.

Berita Harian X