Rabu, 10 Januari 2018 | 9:46pm
KHAIRI memandikan lembu kesayangannya di Ladang Desa Selatan Beef, Kota Tinggi. - Foto Adi Safri
PERALATAN yang digunakan untuk proses permanian beradas. - Foto Adi Safri
KEADAAN Ladang Desa Selatan Beef, Kota Tinggi. - Foto Adi Safri
AHLI Jawatankuasa Persatuan Alumni Institut Veterinar Malaysia (AIVM), Qamarul Iqkhwan Md Termizi (kiri) menaiki badan lembu baka jenis Limousin di Ladang Desa Selatan Beef, Kota Tinggi. - Foto Adi Safri

Sani, Jebong lembu selebriti

KOTA TINGGI: Dua ekor lembu sado seberat 1.2 tan atau 1,200 kilogram (kg) dan 180 kg menjadi kesayangan seorang pemilik ladang, di sini.

Lembu yang diberi nama Sani dan Jebong masing-masing berusia tiga tahun serta enam bulan itu bukan sahaja jinak, comel dan manja, malah menjadi 'selebriti' dalam dunia haiwan ternakan.

Ini berikutan dua lembu sado berkenaan sering dibawa menjelajah ke seluruh negara bagi memenuhi jemputan pameran ternakan dan pertanian peringkat negeri dan negara.

Sani yang bersaiz tiga kali ganda lembu tempatan adalah daripada baka Limousin, manakala Jebong yang disifatkan masih 'budak' itu pula daripada baka Belgian Bleu yang masing-masing berasal dari Perancis dan Belgium.

Pemilik Ladang Desa Selatan Beef, Khairi Abdullah, 42, yang juga pemilik dua lembu selebriti berkenaan berkata, Sani dan Jebong adalah hasil program Permanian Beradas (AI) yang dilahirkan menerusi lembu induk betina di ladangnya.

Beliau berkata, umpama seorang bapa, beliau serta pekerjanya yang membesar, mengasuh dan menyaksikan tumbesaran Sani dan Jebong sehingga menjadi kesayangan ramai dan 'selebriti' haiwan.


PEMILIK Ladang Desa Selatan Beef, Khairi Abdullah di Ladang Desa Selatan Beef, Kota Tinggi. - Foto Adi Safri

Katanya, Sani pernah ditawarkan harga RM22,000 untuk dibeli ketika dibawa menyertai sebuah pameran pertanian dan ternakan tahun lalu namun ditolaknya kerana amat menyayangi lembu berkenaan.

"Setiap penternak memiliki haiwan ternakan kesayangan masing-masing dan saya tidak terkecuali kerana menganggap Sani dan Jebong seperti anak sendiri, apatah lagi saya menyaksikan mereka daripada benih sehingga membesar di depan mata.

"Sani badannya seperti gergasi manakala Jebong badannya lebih berotot namun kedua-duanya sangat jinak, suka dimanja dan diberi perhatian.

"Setiap hari saya dan pekerja memberi hingga 30kg makanan sehari kepada kedua-duanya, dua kali sehari. Antara makanan kegemaran adalah rumput Napier, dedak, batang jagung dan nanas.

"Setiap hari saya dan pekerja juga akan memandikan Sani dan Jebong. Sani lebih suka berada di kandangnya manakala Jebong pula gemar bersiar-siar sehingga perlu dibawa berjalan keliling ladang ini sambil dibelai manja," katanya kepada BH. 

Menurut Khairi, kedua-dua haiwan ternakan itu tidak banyak kerenah, mudah diuruskan termasuk memenuhi jemputan ke pameran pertanian dan ternakan seluruh negara.


PRESIDEN Persatuan Alumni Institut Veterinar Malaysia (AIVM), Mohd Jalaludin Musa memantau tahap kecergasan lembu baka jenis Limousin di Ladang Desa Selatan Beef, Kota Tinggi. - Foto Adi Safri

Katanya, Sani dan Jebong juga amat gemarkan perhatian selain tidak pernah membuat perangai atau jemu melayan permintaan setiap pengunjung yang mahu membelai atau bergambar dengan mereka.

"Sani juga suka menghampiri pengunjung apatah lagi jika mereka mahu memberinya makanan, manakala Jebong pula gemar dibawa bersiar mengelilingi tapak pameran bagi bertemu sendiri peminatnya," katanya. 

Khairi yang juga anak kelahiran Lima Kedai, Gelang Patah, Johor itu kini berhasrat mencari pasangan yang sesuai untuk mengahwinkan 'anak' kesayangannya, Sani, namun berdepan kesukaran kerana saiz badannya yang amat besar. 

Katanya, Sani dan Jebong juga boleh membesar sehingga mencapai tumbesaran maksimum antara 1.3 hingga 1.5 tan.

Selain Sani dan Jebong, Khairi turut menternak hampir 800 lembu daging dan susu dengan 15 daripadanya adalah lembu sado atau hibrid.

Sudah mula menternak lembu sejak tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Khairi mewarisi minat daripada datuknya yang pernah membela lembu susu untuk dijual.


WAKIL Persatuan Alumni Institut Veterinar Malaysia (AIVM) Terengganu, Muhammad Shafiq Ahmad memasukkan tiub penyimpanan mani lembu baka jenis Limousin ke dalam alat permanian beradas di Ladang Desa Selatan Beef, Kota Tinggi. - Foto Adi Safri

Namun sejak 10 tahun lalu, beliau mendapat peluang menyewa tanah pertanian milik kerajaan negeri seluas 10 hektar di Kota Tinggi, yang dikhususkan untuk ternakan sebelum mengambil keputusan mencuba nasib membuka syarikat penternakan lembu.

"Selepas yakin dengan pengalaman dan ilmu diraih daripada perniagaan lembu susu keluarga, saya mengeluarkan modal RM30,000 daripada wang simpanan dan bermula di ladang ini.

"Alhamdulillah, berkat kesungguhan bermula dengan 20 ekor lembu pedaging dan susu baka tempatan, kini perniagaan saya berkembang dengan memiliki hampir 800 lembu.

"Semua ternakan lembu ini selain Sani dan Jebong adalah untuk dijual sama ada untuk dagingnya, pembiakan mahupun musim korban. Selain untuk bekalan pasaran Johor, ada pembeli dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan Negeri Sembilan yang turut mendapatkan lembu dari ladang saya," katanya.

Beliau berkata, penternak lembu yang komited dan berdisiplin mampu menjana pendapatan sehingga lima angka sebulan atau lebih tertakluk kepada keperluan serta permintaan pelanggan.


AHLI Jawatankuasa Persatuan Alumni Institut Veterinar Malaysia (AIVM), Qamarul Iqkhwan Md Termizi menggunakan pelincir sebelum memulakan proses permanian beradas di Ladang Desa Selatan Beef, Kota Tinggi. - Foto Adi Safri

INFO

  • Antara baka lembu sado/hidbrid yang diminati di Malaysia adalah Limousin, Belgian Blue, Brahman dan Charolaise.
  • Baka lembu ini diminati kerana saiznya berganda lebih besar selain mempunyai otot-otot yang sado dan jumlah daging lebih banyak berbanding baka tempatan.
  • Purata berat lembu matang baka tempatan adalah antara 360 kg-400 kg.
  • Purata berat lembu matang baka sado/hidbrid mampu mencecah 2 tan.
  • Harga lembu baka tempatan antara RM4,000-RM6,000 tertakluk pada saiz.
  • Harga lembu sado/hidbrid antara RM11,000 sehingga ada mencecah lebih RM20,000 tertakluk pada saiz serta jenis baka.
Berita Harian X