Ahad, 7 Januari 2018 | 6:34pm

BNM buka tempahan wang peringatan

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) membuka tempahan dalam talian bagi jualan wang peringatan sempena Ulang Tahun Ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V; dan Ulang Tahun Ke-60 Arkib Negara Malaysia, sehingga 19 Januari ini.

Jualan wang peringatan Ulang Tahun Ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu itu meliputi wang kertas sekeping RM600 pada harga RM1,700; wang kertas RM60 bercantum tiga dalam satu (3-in-1) ditawarkan pada RM500; wang kertas sekeping RM60 (pada harga RM120).

Manakala bagi wang peringatan Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pula membabitkan duit syiling perak, tembaga, emas nordic dan set 2-dalam-1 (perak dan tembaga) yang ditawarkan bermula harga RM11 sehingga RM1,200.

Bagi wang peringatan Ulang Tahun Ke-60 Arkib Negara Malaysia pula menawarkan tiga pilihan duit syiling iaitu syiling perak, syiling emas nordic dan set 2-dalam-1 (perak dan emas) yang ditawarkan bermula harga RM10.60 sehingga RM296.80

Bagaimanapun, semua wang peringatan terbabit hanya untuk simpanan atau pengumpul dan tidak sah digunakan dalam transaksi urus niaga mata wang di pasaran.

Bank pusat dalam kenyataannya berkata, kemudahan tempahan dalam talian itu dibuka lebih awal daripada perancangan susulan minat orang ramai yang menggalakkan kepada wang peringatan berkenaan sejak dilancarkan pada Disember lalu.

Katanya, tempoh masa kira-kira empat minggu yang diberikan adalah mencukupi bagi memastikan mereka yang berminat boleh membuat tempahan menerusi tempahan menerusi duit.bnm.gov.my.

"Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian BNM dan bukannya melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah.

"Bagi memberikan peluang sama rata untuk membeli wang peringatan edisi terhad ini menerusi sistem tempahan dalam talian, had pembelian bagi setiap pembeli sudah ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan dalam laman webnya di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, BNM berkata, lelongan wang kertas yang mempunyai nombor siri istimewa dan duit syiling peringatan emas bersempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V akan dilakukan pada 10 Mac ini.

Katanya, wang kertas dilelong itu termasuk yang memiliki semua nombor sirinya sama (contohnya MRR0000888); wang kertas bernombor siri berturutan (contohnya MRR0001234); dan wang kertas dengan nombor siri istimewa yang lain (contohnya MRR0001957, MRR0002017, MRR0000060, MRR0000600, MRR0006000 dan MRR0060000).

Berita Harian X