Khamis, 4 Januari 2018 | 3:47pm
KETUA Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Johan Abdullah. - Foto Hafiz Sohaimi
KETUA Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Johan Abdullah. - Foto Hafiz Sohaimi

Kos haji kekal RM9,980 - TH

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji, hari ini, memberi jaminan kos mengerjakan haji untuk jemaah kali pertama, kekal pada harga RM9,980, susulan pelaksanaan cukai tambah nilai (VAT) oleh Kerajaan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Johan Abdullah, berkata pihaknya maklum mengenai pelaksanaan VAT dan sudah mengambil kira faktor itu dalam pengiraan kos operasi musim haji tahun ini.

"Pelaksanaan VAT lima peratus itu tidak memberi impak secara langsung kepada jemaah haji Muassasah kali pertama untuk sesi 1439H/2018M.

"Bagaimanapun, keseluruhan subsidi haji dijangka meningkat kepada RM400 juta, seperti yang telah diumumkan Tabung Haji, bulan lalu," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas rungutan dan kekeliruan orang ramai mengenai pelaksanaan VAT serta kesannya kepada kepada kos operasi haji dan jemaah di negara ini.

VAT diperkenalkan di Arab Saudi dan UAE buat kali pertama pada bermula 1 Januari lalu, dengan lima peratus dikenakan terhadap kebanyakan barangan dan perkhidmatan.

Selain VAT, Arab Saudi kini juga memasukkan cukai ke atas tembakau dan minuman ringan serta memotong sesetengah subsidi yang ditawarkan kepada penduduk tempatan.

Di UAE, tol jalan raya dinaikkan, manakala cukai pelancongan diperkenalkan.

Johan berkata, pihaknya sentiasa memastikan kebajikan jemaah terjaga supaya mereka dapat menunaikan ibadah haji dengan selesa.

Katanya, sejak tahun 2009, Tabung Haji menanggung lebih daripada RM1 billion subsidi haji.

Berita Harian X