Khamis, 4 Januari 2018 | 12:00am

Tetapan peribadi di laman sosial tidak selamat

KUALA LUMPUR: Gambar dan video yang disimpan dalam mod tetapan peribadi (private mode) di laman sosial adalah tidak selamat dan mampu diakses untuk tujuan eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pakar perunding teknologi maklumat (IT), Ridzman Azzahari, berkata biarpun ramai menyangka mereka sudah menetapkan langkah keselamatan di laman sosial seperti menekan mod tetapan peribadi, sebenarnya mereka terdedah untuk dianiaya, seterusnya menyumbang kepada kegiatan buli siber.

"Ramai orang suka menyimpan gambar di dalam laman sosial kononnya memori telefon sudah penuh. Kemudian mereka menekan mod tetapan peribadi dan menyangka gambar itu tidak akan diakses oleh sesiapa.

"Tetapi situasi itu sebenarnya salah dan tidak selamat kerana orang yang tidak bertanggungjawab mampu melakukan apa sahaja termasuk mengambil gambar dan video itu untuk tujuan tertentu.

"Perkara ini bertambah buruk jika mereka menetapkan langkah keselamatan menggunakan nombor telefon. Apabila nombor telefon itu tidak lagi dipakai, pemilik baharu nombor itu mampu melakukan penetapan semula kata kunci Facebook, sekali gus dapat mengakses laman sosial itu," katanya kepada BH.

Semalam, BH melaporkan buli siber di negara ini berada pada tahap serius ketika ini dan akan menjadi ancaman kepada diri dan masyarakat kerana ia dikesan lebih bahaya berbanding buli secara fizikal.

LAPORAN eksklusif BH semalam mengenai buli siber.

Ridzman berkata, kes buli siber turut terjadi apabila mangsa menjual telefon bimbit tanpa melakukan 'factory setting' dan ini mengakibatkan gambar serta video mereka terdedah untuk dieksploitasi.

"Begitu juga apabila kita memuat turun aplikasi tertentu tanpa mengambil berat mengenai terma dan perjanjian. Semua ini perlu kita ketahui sebagai pengguna tetapi dipandang remeh," katanya.

Beliau berkata, kegiatan buli siber terjadi ketika kemunculan laman sosial seperti Friendster dan Myspace lebih 10 tahun lalu dan berlaku kerana masing-masing terlalu ghairah untuk berkongsi segala hal peribadi.

"Kita tidak meletakkan had untuk berkongsi hal peribadi dan kononnya kita sudah 'private' tetapi kita tidak mengenal hati budi rakan kita di laman sosial.

"Sejauh mana kita kenal semua rakan kita dan saya boleh katakan hanya 50 hingga 60 peratus rakan di laman sosial itu dikenali kita, selebihnya orang yang setuju dan mahu berkawan," katanya.

Beliau berkata, ramai pihak yang mahu menganiaya menggunakan akaun palsu dan berniat buruk terhadap orang yang mahu didekati.

PAKAR perunding teknologi maklumat (IT), Ridzman Azzahari. - Foto Mahzir Mat Isa

"Sebagai contoh, dua hari lalu saya menerima kes seorang pelajar lelaki diugut selepas menyerahkan gambar bogel. Dia mendakwa terjerat sesudah berkenalan dengan seorang perempuan namun akhirnya mengetahui orang itu adalah lelaki," katanya.

Sementara itu, kanak-kanak di peringkat sekolah rendah dikesan menjadi antara kumpulan yang paling aktif membuli secara siber di negara ini.

Ini berikutan kumpulan ini semakin hari semakin terdedah dengan kemudahan internet dan mampu melakukan pelbagai perkara di laman sosial tanpa sebarang kawalan.

Kajian Asas Kesedaran Keselamatan Siber Negara oleh CyberSecurity Malaysia (CSM) mendapati, kanak-kanak di peringkat usia itu dikesan sudah melakukan pelbagai kelakuan buruk dalam talian sama ada secara sengaja atau tidak.

Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab, berkata berdasarkan kajian itu, ada beberapa penemuan menarik boleh dikaitkan dengan buli siber khususnya membabitkan mereka yang berada pada tahap sekolah rendah.

Katanya, buli siber yang paling banyak dilakukan kanak-kanak dalam kajian itu adalah mengeluarkan orang lain secara sengaja daripada sesuatu kumpulan dalam talian iaitu sebanyak 7.77 peratus manakala mempersendakan orang lain (6.73 peratus) dan menyamar sebagai orang lain dalam talian, 5.67 peratus.

"Kajian itu turut mendapati, kanak-kanak di peringkat usia itu juga melakukan salah laku menghantar pesanan dengan menggunakan bahasa yang kasar kepada orang lain (4.70 peratus), menghantar teks atau e-mel atau mesej yang menakutkan, berunsur biadap atau kejam kepada orang lain (3.71 peratus) dan menghantar mesej yang tidak senonoh, kasar dan tidak sopan, 3.05 peratus.

MUKA depan BH semalam mengenai buli siber.

"Selebihnya mereka turut menyebarkan khabar angin yang tidak sopan mengenai orang lain (2.96 peratus), mengusik dengan cara yang melampau (2.81 peratus, memuat naik atau mengirim video yang memalukan (2.59 peratus) dan memuat naik atau mengirim gambar yang memalukan (2.17 peratus)," katanya kepada BH.

Dalam kajian itu, walaupun peratusan salah laku buli siber dilihat kecil, jika dicampur, sebanyak 42.16 peratus kesalahan dikesan berlaku dalam kalangan kanak-kanak di peringkat sekolah rendah.

Keadaan ini dilihat amat membimbangkan berikutan nilai moral yang diterapkan kepada kanak-kanak sejak di awal usia semakin terhakis berikutan kebergantungan hidup dengan gajet canggih dan internet.

Amirudin berkata, kanak-kanak berusia lapan tahun hingga 17 tahun didapati menjadi antara golongan mangsa utama siber buli.

"Kami mendapati, kejadian buli siber dalam kalangan kanak-kanak yang bersekolah di Malaysia sedang meningkat terutama mereka yang berada dalam lingkungan usia 13 dan 15 tahun," katanya.

Amirudin berkata, salah laku buli siber dalam kalangan mereka yang berusia sekolah menengah pula ialah mengejek orang lain iaitu sebanyak 10.63 peratus, menyamar sebagai orang lain (10.08 peratus), mengusik dengan cara yang melampau (4.25 peratus) dan menghantar mesej yang tidak senonoh, 3.83 peratus.

"Menghantar teks atau e-mel atau mesej yang menakutkan, berunsur biadap atau kejam kepada orang lain (3.06 peratus), memuat naik atau mengirim gambar yang memalukan (2.35 peratus), menyebarkan khabar angin yang tidak sopan mengenai orang lain (1.93 peratus) dan memuat naik atau mengirim video yang memalukan (1.75 peratus)," katanya.

Beliau berkata, penemuan kajian itu menunjukkan remaja dan kanak-kanak di negara ini sebenarnya membenarkan salah laku berlaku pada peringkat usia mereka.

Berita Harian X