Rabu, 3 Januari 2018 | 10:33pm
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi ucapan sebelum merasmikan pelancaran portal theRakyat dan mempengerusikan mesyuarat khas majlis tertinggi Barisan Nasional di Dewan Tun Hussein Onn. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi ucapan sebelum merasmikan pelancaran portal theRakyat dan mempengerusikan mesyuarat khas majlis tertinggi Barisan Nasional di Dewan Tun Hussein Onn. - Foto BERNAMA

Manifesto PRU-14 terbaik untuk rakyat - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional (BN) akan menjadikan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang terbaik dalam memperjuangkan nasib rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang.

Pengerusi BN itu berkata, semua yang dijanjikan dalam manifesto itu akan dilaksanakan seperti manifesto PRU-13, bukan seperti pembangkang yang hanya pandai berjanji tetapi tidak ditepati.

"Insya-Allah bila tiba masanya, manifesto ini akan kita umumkan dan jadikan yang terbaik sebagai keutamaan kita dalam memperjuangkan untung nasib rakyat.

"Kita sudah dapat tempat di persada antarabangsa, dunia mengiktiraf Malaysia, yakinlah pada BN, beritahu dan yakinkan pengundi, inilah masanya, tampil menyokong BN.

"Sebab (PRU-14) adalah masa depan negara yang sudah tentu keutamaan kepada rakyat akan dimasukkan dalam manifesto BN," katanya berucap melancarkan portal therakyat.com di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Pengarah therakyat.com, Shamsulbaahrin Ludin; serta presiden parti komponen BN.

Portal therakyat.com akan menjadi suara dan pemangkin aspirasi BN untuk mengekalkan kedudukan sebagai parti pemerintah.

Najib yang juga Perdana Menteri berkata, beliau berazam menjadikan 2018 sebagai tahun berjaya untuk BN dan negara ini.

"Kita tutup 2017 dengan penuh keyakinan, kita tahu ekonomi kita dalam keadaan baik, kita dapat penarafan memberangsangkan, apa yang kita kata defisit fiskal negatif tiga peratus, Insya-Allah tercapai, tahun ini kita lihat kemungkinan prestasi bertambah lebih baik lagi," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata pemimpin parti komponen BN mempunyai perbezaan sangat besar dengan pembangkang.

Katanya, pemimpin parti komponen BN memahami isi hati rakyat, bukan seperti pemimpin pembangkang hanya balas dendam dan bersifat peribadi.

"Kita berjuang untuk rakyat, saya yakin bahawa kita mempunyai persefahaman lebih jitu dalam BN, belah sana (pembangkang) 'only marriage of convenience', kita sentiasa konsisten tapi sebelah sana 'consistently inconsistent'," katanya.

Najib berkata, dalam PRU-13 BN menjadi mangsa kepada sebaran maklumat palsu atau 'fake news' walaupun istilah berkenaan tidak popular pada masa itu, namun hakikatnya berita palsu menjadi senjata pembangkang yang sedikit sebanyak membawa kesan kepada BN.

Katanya, penyebaran berita 40,000 pengundi dari Bangladesh, konon berlaku gangguan bekalan elektrik di beberapa tempat pengundian, meskipun waktu itu masih siang dan kalau tiada bekalan elektrik, masih cukup cahaya untuk mengira undi.

"Ada juga pemimpin pembangkang pada jam 4 pagi, mereka kononnya menang PRU walaupun waktu mengundi belum bermula. PRU-14 kita perlu gunakan platform media sosial untuk menangkis berita palsu itu," katanya.

Berita Harian X