Rabu, 3 Januari 2018 | 12:05am
AKTRES, Uqasha Senrose. - Foto Nurul Shafina Jemenon
MASYARAKAT perlu bersedia menghadapi ancaman buli siber. - Foto hiasan
BULI siber di negara ini berada pada tahap serius ketika ini. - Foto hiasan
KETUA Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM), Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab. - Foto Munira Abdul Ghani
PELAKON dan pelawak terkenal, Zizan Razak. - Foto Mahzir Mat Isa

Ancaman buli siber

KUALA LUMPUR: Buli siber di negara ini berada pada tahap serius ketika ini dan masyarakat perlu bersedia menghadapi ancaman berkenaan, kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM), Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab.

Beliau berkata, jika tidak dibendung, ia akan menjadi ancaman kepada diri dan masyarakat kerana buli siber dikesan lebih bahaya berbanding buli secara fizikal berikutan ia boleh dilakukan sesiapa saja tanpa kawalan di alam internet.

"Mangsa tidak kenal individu yang membuli kerana "anonymity" disediakan melalui internet. Dengan "penonton" yang ramai, kes membabitkan buli siber juga akan sentiasa berulang kerana bahan itu kekal di internet, sekali gus menyebabkan mangsa buli terus tertekan dan dalam sesetengah kes menimbulkan keinginan mangsa untuk membunuh diri," katanya kepada BH.

Beliau berkata, jika kecederaan mangsa buli secara fizikal dapat dilihat dengan mata kasar, keadaan ini berbeza dengan mangsa buli siber kerana mereka akan mengalami gangguan dari segi mental dan emosi.

"Keadaan ini akan menyebabkan banyak perkara boleh berlaku, termasuk perkara yang meragut nyawa. Jadi, sayangilah rakan dan jangan biarkan mereka menjadi pembuli atau mangsa buli siber," katanya.

Mengulas mengenainya, Amirudin berkata, kebanyakan mangsa dan pemangsa buli siber terdiri daripada remaja dan belia, namun ada juga golongan melebihi usia 40 tahun.

KETUA Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM), Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab. - Foto Munira Abdul Ghani

Berdasarkan statistik Pusat Bantuan Cyber999, beliau berkata, 51 kes membabitkan remaja berusia sehingga 18 tahun, 19 tahun hingga 25 tahun (246), 26 tahun hingga 40 tahun (314), 41 tahun hingga 55 tahun (69) dan 56 tahun ke atas (69 kes).

Katanya, ada peningkatan jumlah kes yang dilaporkan kepada Pusat Bantuan Cyber999 yang dikendalikan oleh CSM dan penguat kuasa undang-undang.

Pada suku ketiga tahun ini saja, katanya, sebanyak 228 kes dilaporkan kepada Pusat Bantuan Cyber999, manakala pada tahun 2016 (344), 2015 (319), 2014 (374), 2013 (410) dan 2012 (62). Jumlah keseluruhan dalam tempoh enam tahun ialah 1,737 kes.

Mengenai trend buli siber yang dikenal pasti CSM, Amirudin berkata, mereka mengesan kewujudan akaun palsu yang menggunakan gambar mangsa yang diedit untuk tujuan negatif.

"Bagi memalukan mangsa, pembuli siber menyebarkan gambar yang tidak sesuai atau gambar sensitif di laman sosial Instagram. Apabila akaun palsu ini dipadamkan oleh pihak tertentu seperti Facebook, pembuli siber tegar berulang kali membuat akaun palsu lain dengan tujuan mahu terus menyakiti mangsa.

"Ini konsisten dengan kaji selidik DiGi CyberSAFE yang menunjukkan 65 peratus pengguna internet mengaku menerima mesej berbaur lucah atau dimaki ketika bermain permainan dalam talian dan 25 peratus lagi menjadi mangsa gangguan seksual di media sosial," katanya.

Beliau berkata, aliran terkini juga mendapati kegiatan menggunakan akaun mangsa wanita yang digodam untuk memeras ugut dan menipu wanita lain dan akibatnya mangsa takut untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana sudah diugut.

"Malah, ada pembuli yang menggunakan gambar profil wanita yang cantik dan seksi untuk memperdaya pengguna internet melakukan aksi seksual tanpa pakaian, seterusnya mengugut mangsa akan menyebarkan video yang dirakam. Mangsa kemudian diarah memindahkan sejumlah wang ke akaun pembuli.

"Mangsa lelaki juga tidak terkecuali iaitu mereka akan diugut supaya memindahkan sejumlah wang ke akaun tertentu bagi mengelak penyebaran perbualan mesej berbaur seks sejenis. Pembuli siber menggunakan gambar lelaki yang menarik bagi mengumpan mangsa sejenis.

"CSM turut mengesan pembuli siber menggunakan gambar peribadi mangsa untuk membuat akaun kumpulan yang memalukan, sekali gus ahli kumpulan itu akan mengutuk dan memberikan respons negatif terhadap mangsa," katanya.

Sementara itu, pelakon dan pelawak terkenal, Zizan Razak mengaku pernah dilempar kata-kata kesat netizen hanya selepas berkongsi status di laman sosial.

Menerima kecaman netizen sebagai asam garam dunia seni, Zizan berkata, kepesatan teknologi menyebabkan netizen semakin berani bertindak di luar jangkaan hingga menimbulkan 'gangguan' dan tekanan kepada masyarakat.

"Isu kes buli siber ini, sebenarnya lihat kepada jenisnya. Kalau perbuatan menggodam juga sudah dikira teruk. Saya pernah melaluinya apabila akaun Facebook saya digodam.

"Jika membabitkan kutukan, setakat komen 'lakonan abang tidak baguslah' atau 'abang berlakon macam kayu', saya terima dengan hati terbuka biarpun penggunaan kata-kata agak kasar. Jadi, saya cuba perbaiki apa yang sepatutnya," katanya kepada BH.

Bagaimanapun, Zizan menganggap tindakan segelintir netizen mencaci hingga dalam kes tertentu, mengaitkan keluarga tidak boleh diterima.

"Tetapi apabila dikutuk dengan kata-kata kesat, caci maki sehingga menghina keluarga, itu sudah melampau. Namun, nak buat macam mana, sebagai artis kita tidak perlu layan golongan seperti ini," katanya.

Zizan atau nama penuhnya, Mohd Razizan Abdul Razak berkata, artis dan selebriti yang terdedah dengan tohmahan, fitnah dan kritikan netizen perlu bijak menguruskan masalah itu.

PELAKON dan pelawak terkenal, Zizan Razak. - Foto Mahzir Mat Isa

"Saya ambil pendekatan bersikap positif. Ini kerana kes buli siber tidak boleh berakhir. Malah, saya fikir, ia mungkin boleh jadi lebih teruk pada masa akan datang," katanya.

Zizan berkata, biarpun teruk dihentam, beliau menganggap peratusan peminat yang ikhlas dan menyokongnya lebih tinggi daripada mereka yang membencinya.

"Isu benci ini sejak dulu lagi wujud. Cuma artis mungkin tidak akan tahu apa yang dikritik masyarakat. Tetapi aliran sekarang, orang yang kita tidak kenal pun akan memberi kecaman.

"Apa-apapun kita perlu kuat dan menjalani kehidupan seperti biasa. Ini sudah menjadi sebahagian dugaan dan asam garam dalam dunia artis.

"Perlu berhati-hati, kadang-kala orang itu nampak baik, tetapi apabila berada di alam siber, dia boleh bercakap apa saja.

"Mungkin orang itu ada masalah, kita tidak tahu. Nasihat saya, apa-apa yang terjadi, berbaliklah kepada agama, walaupun di alam maya, malaikat tetap catat keburukan kita," katanya.

Aktres, Uqasha Senrose mengaku sudah lali dengan kritikan netizen berpunca daripada entri yang dimuat naiknya di laman sosial.

Mengakui ada ketikanya geram dan sakit hati dengan golongan pembenci, namun Uqasha bersikap lebih positif dengan kecaman yang diterima hampir setiap hari.

"Kadang-kadang saya tidak faham apa yang mereka mahu. Kalau anda berada di tempat saya, pasti anda akan mengamuk. Cuma sebagai selebriti, kalau terlalu cepat melatah, bergegarlah dunia.

AKTRES, Uqasha Senrose. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Kalau hendak tertekan sekalipun, perkara ini tidak akan ke mana-mana. Jadi, lebih baik kita abaikan, walaupun hati sakit membaca caci maki di ruangan komen laman sosial kita.

"Ada sahaja orang mengata. Mereka akan perhatikan kita daripada hujung rambut hingga hujung kaki. Bayangkan, ibaratnya orang yang tidak dikenali datang pada anda dan mengutuk anda hodoh atau gemuk. Apa reaksi anda, pastinya anda melenting," katanya.

Uqasha berkata, andai kes buli siber mampu ditangani melalui tindakan undang-undang, beliau tidak teragak-agak membuat dakwaan.

Bagaimanapun, katanya, pemerhatiannya mendapati kebanyakan pemberi komen menggunakan akaun palsu dan individu terbabit sukar dijejaki.

"Berdasarkan pengamatan saya melalui gambar profil, kebanyakan yang suka mengkritik tanpa sebab adalah budak-budak remaja dan golongan lelaki. Tetapi, tak tahulah jika gambar profil sekadar hiasan.

"Namun, bagi saya, kes buli siber ini sudah semakin melampau tanpa kawalan. Saya harap sedikit sebanyak kes seumpama ini dapat dikurangkan pihak berkuasa," katanya.

MASYARAKAT perlu bersedia menghadapi ancaman buli siber. - Foto hiasan

Berita Harian X