Isnin, 25 Disember 2017 | 12:49pm
ULAR sawa batik berselindung di bumbung reban ayam di Kampung Tanah Puteh. - Foto Ihsan APM
ULAR sawa batik berselindung di bumbung reban ayam di Kampung Tanah Puteh. - Foto Ihsan APM
APM berjaya menangkap ular sawa batik selepas membaham empat ekor ayam. - Foto ihsan APM
APM berjaya menangkap ular sawa batik selepas membaham empat ekor ayam. - Foto ihsan APM

Ular sawa batik seberat 20kg ditangkap

GUA MUSANG: Seekor ular sawa batik yang dipercayai membaham empat ekor ayam ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam sebuah reban di Kampung Tanah Puteh, Gua Musang, hari ini.

Kehadiran ular sawa di bumbung reban ayam itu disedari jam 7.30 pagi sebelum pemiliknya, Nik Ibrahim Nik Kob, 53, melaporkannya kepada pihak APM.

Anggota APM menangkap ular sawa batik sepanjang empat meter dan seberat 20 kilogram itu dalam masa empat minit sahaja selepas sampai di lokasi.

Nik Ibrahim berkata, dia menyedari ada ular sawa dalam reban selepas terdengar bunyi bising ayam sejak awal pagi sebelum memeriksanya.

"Saya memelihara 20 ayam kampung dalam reban dan selepas diperiksa empat ekor tiada, mungkin dibaham ular berkenaan," katanya.

Nik Ibrahim berkata, dia sudah mendengar bunyi bising sekitar reban itu sejak dua hari lalu, namun tidak mengesyaki kehadiran ular sawa terbabit.

Sementara itu, Pegawai APM Gua Musang, Mohd Yusalmi Mohd Yusoff, berkata pihaknya menerima panggilan jam 7.40 pagi.

Tiga anggota bergegas ke lokasi dan sebaik sampai pihaknya mendapati ular sawa batik itu masih berada dalam reban.

"Kita dapat menangkap ular sawa batik seberat 20kg dan panjang empat meter dalam masa empat minit.

"Ini adalah tangkapan ular sawa yang ke-40 tahun ini dan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita Harian X