Ahad, 24 Disember 2017 | 11:24pm

Lepak, baca buku di jalanan

SANDAKAN: Melepak sambil membaca buku di jalanan. Itu konsep diketengahkan sekumpulan anak muda yang menggunakan lorong kaki lima kedai sebagai lokasi 'melepak' pada setiap hujung minggu sambil membaca buku.

Kumpulan yang dikenali sebagai 'Kolektif Free-Read' itu dianggotai 10 anak muda membabitkan mahasiswa dan peminat seni berusia 18 hingga 33 tahun. Aktiviti itu pada mulanya diasaskan sukarelawan serta penulis buku sambilan, Asrin Utong, 22.

Menerusi aktiviti itu, mereka berkumpul selama dua jam bermula jam 4 petang pada setiap Sabtu dengan masing-masing membawa bahan bacaan termasuk novel, 'fanzine' iaitu majalah dihasilkan penulis amatur, dan pelbagai genre buku.

KANAK-KANAK tanpa kewarganegaraan belajar menulis menerusi program kelas 3M secara percuma yang disediakan sekumpulan sukarelawan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KANAK-KANAK tanpa kewarganegaraan belajar menulis menerusi program kelas 3M secara percuma yang disediakan sekumpulan sukarelawan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Sekurang-kurangnya 20 buku atau fanzine disusun di lantai yang beralaskan tikar dengan buku bertukar pada setiap minggu, sekali gus memberi peluang kepada pejalan kaki untuk sama-sama membaca.

Ketika ditemui BH, Asrin berkata mereka menjadikan aktiviti itu sebagai pengisian sejak tahun 2015 yang mana pada awalnya bermula di Kompleks Sukan Sandakan, sebelum berpindah ke lorong berhampiran Dataran Piazza.

Katanya, dia memperkenalkan konsep 'buku jalanan' itu selepas melihat potensi menarik golongan belia dan peminat seni melaksanakan program berkenaan, selain tiada kumpulan lain menganjurkan aktiviti terbabit sebelum ini.

KUMPULAN 'Kolektif Free-Read' menjadikan kaki lima lorong kedai sebagai tempat untuk melakukan program buku jalanan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KUMPULAN 'Kolektif Free-Read' menjadikan kaki lima lorong kedai sebagai tempat untuk melakukan program buku jalanan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

"Selain melepak kami berkongsi cerita mengenai buku dan seni serta ada kalanya membuat perbincangan ilmiah kerana ada pengunjung yang singgah tidak mahu membaca, sebaliknya cuma ingin tahu isi kandungan buku.

"Kepuasan kami adalah apabila dapat menarik penyertaan orang ramai untuk membudayakan amalan membaca biarpun ada kalanya menerima kritikan daripada pengunjung yang cuba mempersoalkan tindakan kami meletak buku di atas lantai," katanya.

Menerusi aktiviti buku jalanan itu juga, kumpulan terbabit mempromosikan bahan tulisan anak muda dari daerah ini yang dimuatkan menerusi fanzine, selain lukisan dengan kedua-dua bahan terbabit mengangkat tema kanak-kanak jalanan.

KANAK-KANAK tanpa kewarganegaraan belajar menulis menerusi program kelas 3M secara percuma yang disediakan sekumpulan sukarelawan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KANAK-KANAK tanpa kewarganegaraan belajar menulis menerusi program kelas 3M secara percuma yang disediakan sekumpulan sukarelawan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Asrin berkata, dua fanzine setakat ini yang ditulis ahli kumpulan itu berjudul 'Garisandakan' dan 'Pui_si' yang turut dijual ke Semenanjung secara dalam talian.

Katanya, selain aktiviti 'buku jalanan', mereka terbabit dalam aktiviti kesukarelawanan dengan menyediakan Kelas 3M (membaca, menulis dan mengira) secara percuma kepada kanak-kanak tanpa kewarganegaraan pada setiap Ahad di Bandar Ramai-Ramai, dekat sini.

Katanya, ia antara usaha kumpulannya untuk membantu kerajaan mengurangkan impak sosial di daerah ini.

"Kanak-kanak 'stateless' selalu dipersalahkan apabila berlaku jenayah dan kita tahu mereka tak akan terbabit dengan jenayah sekiranya ada pendidikan. Kami terima sambutan baik apabila mewujudkan kelas ini dengan lebih 40 kanak-kanak datang untuk belajar setiap kali kelas dianjurkan," katanya.

ANTARA buku yang dipamerkan menerusi program buku jalanan yang diilhamkan sekumpulan anak muda bagi membudayakan amalan membaca dalam kalangan masyarakat. - Foto Poliana Ronnie Sidom
ANTARA buku yang dipamerkan menerusi program buku jalanan yang diilhamkan sekumpulan anak muda bagi membudayakan amalan membaca dalam kalangan masyarakat. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Asrin berkata, mereka juga dalam perancangan mewujudkan perpustakaan di sekolah alternatif untuk kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di daerah ini.

Setakat ini, katanya, ada lima sekolah alternatif dikenal pasti yang terletak di Kampung Bahagia, Batu Sapi; Bandar Ramai-Ramai dan Kampung Melayu, Batu 8.

 

KREATIVITI sekumpulan anak muda 'Kolektif Free-Read' meletak buku di lantai bagi menarik pengunjung agar mengamalkan budaya membaca. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KREATIVITI sekumpulan anak muda 'Kolektif Free-Read' meletak buku di lantai bagi menarik pengunjung agar mengamalkan budaya membaca. - Foto Poliana Ronnie Sidom

KUMPULAN 'Kolektif Free-Read' menjadikan kaki lima lorong kedai sebagai tempat untuk melakukan program buku jalanan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KUMPULAN 'Kolektif Free-Read' menjadikan kaki lima lorong kedai sebagai tempat untuk melakukan program buku jalanan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

INFO

Kolektif Free-Read 

  • Dianggotai 10 anak muda dari Sandakan
  • 20 buku atau fanzine bertukar setiap minggu
  • Konsep buku jalanan diperkenalkan sejak 2015
  • menjadikan lorong berhampiran Dataran Piazza sebagai 'port'

Berita Harian X