Ahad, 24 Disember 2017 | 12:44pm
SUKARELAWAN digital, Zania Nudi menunjukkan betapa mudahnya untuk mengetahui indeks pendapatan masing-masing hanya perlukan beberapa saat sahaja.
SUKARELAWAN digital, Zania Nudi .

Kira gaji minimum berdasarkan indeks pendapatan

KUALA LUMPUR: Pengiraan indeks pendapatan yang sudah dibangunkan penganalisis digital tempatan wajar menjadi asas pengiraan kadar gaji minimum.

Pembangun sistem itu, Zania Nudi, berkata penetapan kadar gaji minimum secara asasnya adalah bertujuan membantu kelompok pekerja di sesuatu kawasan keluar daripada takrif kemiskinan.

Katanya, antara kaedah mudah untuk mengira indeks pendapatan adalah menggunakan rumusan yang boleh diakses menerusi pautan myitl.net/indeksmiskin.html atau 175.144.242.145/indeksmiskin.html.

Dapatan daripada pautan itu akan menentukan indeks pendapatan seseorang sama ada ia termasuk dalam kategori miskin, papa, kedana atau berada.

 

"Jika miskin, sudah tentu hendak keluar dari kemiskinan tetapi persoalannya berapakah sasarannya?

 

"Contohnya dengan gaji minimum RM1,500 tinggal di Kuala Lumpur dengan empat orang tanggungan, adakah mencukupi? Sedangkan indeks pendapatannya adalah 0.0625 atau termasuk kategori miskin papa," katanya kepada BH.

 

BH kelmarin melaporkan satu kaedah mudah bagi mengira indeks pendapatan sudah dirumus merangkumi pendapatan, tanggungan dan kawasan bagi menentukan tahap kedudukan kewangan seseorang.

Mengulas lanjut, Zania berkata, pelbagai pihak mendesak pelaksanaan gaji minimum berikutan peningkatan kos sara hidup, tetapi tiada siapa mencadangkan kriteria untuk digunakan.

Sementara itu, pelbagai pihak tampil menyokong rumusan Zania dan meminta agar ia dijadikan panduan dalam usaha membasmi kemiskinan.

 

Bagi pakar sosial, Prof Datuk Dr Mohd Shatar Sabran, kaedah itu boleh menjadi panduan untuk membantu golongan miskin serta asas untuk mengira gaji minimum.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), berkata sistem itu juga patut jadi panduan orang ramai untuk mengurus kewangan masing-masing.

 

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin yang juga Pengerusi FELCRA Bhd, berkata kaedah pengiraan itu memudahkan agensi itu membantu setiap ahli berdasarkan tahap kedudukan kewangan mereka.

 

"Selama ini kita bercakap mengenai orang miskin tetapi kita tidak tahu di tahap mana sebenarnya, sama ada mereka miskin, papa dan kedana," katanya.

Presiden Srikandi Malaysia, Datuk Norasyikin Abdul Ghani, pula berkata sistem yang dibangunkan Zania sangat membanggakan sekali gus menjadi inspirasi kepada setiap wanita untuk turut melakar kejayaan.

 

Katanya, sistem yang dicipta Zania bukan sahaja boleh menutup ketirisan dan memastikan keberkesanan aspek penyaluran bantuan daripada agensi kerajaan, tetapi juga mendidik masyarakat untuk tahu mengenai kedudukan kewangan masing-masing.

Berita Harian X