Jumaat, 22 Disember 2017 | 5:15pm
FOTO hiasan.

Kira sendiri indeks pendapatan

KUALA LUMPUR: Satu kaedah mudah bagi mengira indeks pendapatan sudah dirumus bagi menentukan tahap kedudukan kewangan seseorang.

Kaedah ini dibangunkan penganalisis sistem digital, Zania Nudi, bagi membantu orang ramai menentukan kedudukan mereka sama ada miskin atau kaya.

Ia boleh dicapai menerusi pautan myitl.net/indeksmiskin.html atau 175.144.242.145/indeksmiskin.html.

Prof Datuk Dr Mohd Shatar Sabran, ketika mengulas kaedah pengiraan menerusi pautan itu, berkata orang ramai kini hanya memerlukan beberapa saat untuk mengetahui status atau indeks pendapatan mereka.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, mereka hanya perlu memasukkan maklumat pendapatan, bilangan tanggungan dan memilih kawasan kediaman sama ada bandar, pinggir bandar, luar bandar atau pedalaman.

 

"Sistem akan mengira dan memberikan nombor indeks pendapatan yang secara mudahnya diterjemahkan atau dibaca sebagai sen dan ringgit.

 

"Dicadangkan jika indeks anda 0.25 atau 25 sen ke bawah adalah miskin, jika 15 sen ke bawah adalah papa dan jika 5 sen ke bawah adalah kedana. Indeks 0 atau negatif boleh diterima sebagai petunjuk hidup di bawah pendapatan," katanya.

 

Katanya, formula itu sebagai panduan kiraan sahaja, bagaimanapun status atau piawai boleh ditetapkan kemudian oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

 

"Contohnya individu dengan gaji RM3,000, dua tanggungan dan tinggal di bandar adalah dikategorikan sebagai miskin, kerana indeksnya adalah 0.175 atau digenapkan kepada 18 sen. Jika bujang dengan gaji RM3,000 di bandar adalah juga miskin, kerana indeksnya 0.225, 22 setengah sen.

 

"Jika diterima Paras Garis Kemiskinan (PGK) sebagai 25 sen, maka seseorang bergaji RM100,000 dengan dua tanggungan tinggal di bandar, indeks pendapatannya adalah 5.833 atau RM5.83, tetapi seseorang bergaji RM4,000 dengan empat tanggungan di bandar adalah miskin dengan indeksnya 16 sen," katanya.

 

Selain memudahkan pengiraan oleh orang awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal turut boleh menggunakan indeks berkenaan sebagai tapisan peringkat pertama sebelum menyalurkan bantuan selanjutnya.

 

"Ini dapat memastikan bantuan benar-benar kepada golongan sasar berdasarkan standard, bukannya main agak-agak atau budi bicara sahaja, sekali gus mengelakkan ketirisan dan pertikaian.

 

"Tapisan peringkat pertama ini adalah berdasarkan pendapatan, tanggungan dan kawasan. Peringkat kedua dan seterusnya bergantunglah kepada kriteria masing-masing misalnya kelayakan menerima zakat dan lain-lain bantuan," katanya.

  

Penganalisis ekonomi, Dr Ahmed Razman Abdul Latif, pula berkata beliau sudah mencuba dan menguji kaedah pengiraan indeks yang dibangunkan Zania dan membandingkan dengan formulanya sendiri.

 

"Formula ini menggabungkan tiga pembolehubah utama iaitu pendapatan, tanggungan dan kawasan kediaman. Formula ini sentiasa boleh dikemaskini lagi jika hendak ditambah dengan pembolehubah atau faktor yang lain.

 

"Saya menyokong langkah menyediakan kiraan dalam talian ini kerana selama ini kita dimomokkan dengan pelbagai ciri dan kriteria menentukan tahap kemiskinan seseorang, tetapi tidak diketahui apakah kriteria sebenar yang digunakan.

 

"Menggunakan budi bicara atau kriteria yang dirahsiakan membuka ruang dan peluang kepada ketirisan dan pertikaian bantuan tidak sampai ke sasaran yang selayaknya. Dengan sistem ini, semua boleh mengetahuinya mengikut standard yang digunakan," katanya.

 

"Saya cadangkan penambahbaikan formula ini dengan memadankan kos belanja bulanan berkenaan bergantung kepada lokasi dan kategori B40, M40, T20 serta perbezaan antara negeri.

 

Sementara itu Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum UTHM, Ku Hasnan Ku Halim yang membuat kajian mengenai politik dan pengundi menyambut baik dan sudah mencuba kiraan indeks itu.

 

Sistem yang dibangunkan Zania itu katanya, sangat cepat dan tepat untuk mengira indeks pendapatan seseorang.

 

Katanya, pelbagai pihak termasuk universiti, masjid dan NGO boleh menggunakan sistem itu sebagai sandaran asas untuk memberi bantuan kepada pelajar miskin.

Ahli Parlimen Kuala Nerus merangkap Pengarah Institut Strategi PAS Pusat (ISP), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, pula berkata kaedah itu sesuai digunakan di setiap kawasan Parlimen.

"Indeks ini juga boleh digunakan sebagai tapisan kelayakan peringkat pertama untuk menerima bantuan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia)," katanya.

 

INFO:

Indeks pendapatan

 

 

(3000 - 300×(1 + T)) x pendapatan

> ----------------------------------

9000000 x kawasan

  

T : bilangan tanggungan.

  

Kod kawasan :

 

4 bandar

3 pinggir bandar

2 luar bandar

1 pedalaman

  

Contoh kiraan: Gaji RM3,500 tinggal di bandar dengan empat tanggungan

  

(3,000 - 300x(1+4)) × 3,500

K > -------------------------

9,000,000 × 4

 

> 0.1458

Atau digenapkan kepada 15 sen, iaitu miskin papa.

Berita Harian X