Khamis, 21 Disember 2017 | 8:16pm
MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Pelajar tamat PhD boleh pohon perlanjutan biasiswa KPT

PUTRAJAYA: Pelajar peringkat Doktor Falsafah (PhD) tajaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang tamat pengajian sebelum perlanjutan tempoh biasiswa dilaksanakan KPT pada 14 Disember lalu, boleh dipertimbangkan untuk menerima manfaat berkenaan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata ketika ini, seramai 3,396 pelajar yang sedang mengikuti pengajian peringkat PhD di dalam dan luar negara, boleh memohon untuk perlanjutan berkenaan bagi menyelesaikan pengajian mereka.

"Bagaimanapun, kita akan turut membuka permohonan kepada pelajar yang tamat pengajian sebelum pengumuman perlanjutan tempoh biasiswa dibuat kerana ada antara mereka yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menamatkan baki pengajian, namun ia akan dilihat berdasarkan kes.

"Semua permohonan perlanjutan tempoh biasiswa ini perlu disokong dan diperakukan oleh universiti di mana pelajar berkenaan belajar dan di mana pelajar itu sedang berkhidmat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 14 Disember lalu, Idris memaklumkan pelajar yang sedang mengikuti pengajian peringkat PhD di dalam dan luar negara di bawah tajaan KPT akan diberi kelonggaran untuk melanjutkan tempoh pengajian mereka.

Pemberian tempoh perlanjutan itu tidak boleh dianggap sebagai automatik kerana ia akan dinilai berasaskan prinsip 'merit of the case' termasuk faktor kesulitan yang dihadapi pelajar serta sokongan dan perakuan daripada pihak universiti.

Mengulas lanjut, Idris berkata perlanjutan itu sekali gus akan menyelaraskan terma dan syarat biasiswa KPT dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terutama bagi tempoh wajib tamat pengajian.

"Berdasarkan lawatan kita ke luar negara sebelum ini, ada pelajar yang memaklumkan mereka memerlukan tempoh perlanjutan dalam tiga dan enam bulan untuk menyelesaikan pengajian mereka atas pelbagai sebab.

"Kita lihat sebab yang dimaklumkan mereka itu wajar. Syarat KPT lebih ketat berbanding JPA. Justeru, kita berpandangan ia perlu disemak semula supaya selaras dengan JPA," katanya.

Berita Harian X