Selasa, 19 Disember 2017 | 7:47am

Amaran hujan lebat

KUALA LUMPUR: Hujan lebat berserta angin kencang dijangka berterusan di Sabah dan Sarawak sehingga esok.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) dalam laman webnya mengeluarkan amaran cuaca buruk di Kudat, Pantai Barat, Pedalaman, Sandakan, Wilayah Persekutuan Labuan dan Limbang serta Miri.

Turut diberi amaran waspada hujan lebat dan angin kencang ialah kawasan Pedalaman dan Sandakan di Sabah. Di Sarawak pula, membabitkan bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah, Sibu serta Bintulu berterusan sehingga esok.

Sementara itu, angin kencang timur laut dengan kelajuan sehingga 50 kilometer (kmsj) dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (m) dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah (Kudat, Pantai Barat dan Pedalaman) dan Wilayah Persekutuan Labuan hingga Khamis ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua kegiatan di pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Met Malaysia turut mengeluarkan jangkaan angin kencang timur laut dengan kelajuan sehingga 60 kmsj dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 m berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak berterusan hingga Khamis ini.

Kawasan perairan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut. Keadaan ini dijangka berterusan selama tiga hari.

Berita Harian X