Khamis, 14 Disember 2017 | 5:39pm

41 pegawai kanan PDRM naik pangkat, tukar jawatan

 

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran jawatan serta kenaikan pangkat 41 pegawai kanannya, berkuat kuasa 15 Januari depan.

Mendahului senarai, Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk A Thaiveegan yang akan menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Pulau Pinang

Datuk Abdul Rahim Jaafar yang kini Timbalan Pengarah (Integriti) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menggantikan Thaiveegan dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad, berkata jawatan Abdul Rahim pula akan diambil alih Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azri Ahmad. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pahang, Datuk Jamaludin Kudin akan mengisi kekosongan ditinggalkan Azri dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP).

Asmawati berkata, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Datuk Gan Tian Kee akan ke Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pemalsuan/Jenayah Komplot) JSJK.

Jawatan Tian Kee diambil alih Asisten Komisioner Yahya Rahman yang kini Timbalan Ketua JSJ (Risikan/Operasi) Selangor dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

"Ketua JSJ Johor, Senior Asisten Komisioner Azman Ayob akan bertukar sebagai Ketua JPJKK Kuala Lumpur. Jawatan beliau akan diambil alih Ketua JSJ Melaka, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

"Timbalan Ketua JSJK (Jenayah Korporat/Kewangan) Melaka, Superintendan Mohd Yhazid Idris akan mengambil alih jawatan Ketua JSJ Perak dengan memangku pangkat Asisten Komisioner," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Asmawati berkata, lima Ketua Polis Daerah (KPD) turut terbabit dengan pertukaran kali ini, iaitu KPD Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh dinaikkan pangkat Senior Asisten Komisioner dengan tugas baharu sebagai Ketua JPJKK Pahang.

KPD Sibu, Asisten Komisioner Zailanni Amit bertukar sebagai Timbalan Ketua JPJKK (Perancangan Strategik) Sarawak dan KPD Labuan, Asisten Komisioner Adzhar Othman sebagai Timbalan Ketua JPJKK (Perancangan Strategik) Pulau Pinang.

KPD Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob bertukar sebagai Ketua Penolong Pengarah (Gerakan) Bahagian Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman dengan memangku pangkat Asisten Superintendan.

Selain itu, KPD Maran, Deputi Superintendan Mazlan Hassan akan bertukar sebagai Ketua Polis Daerah Jerantut dengan memangku pangkat Superintendan.

Pertukaran juga membabitkan empat Timbalan KPD, iaitu Timbalan KPD Miri, Superintendan Stanley A/K Jonathan Ringgit akan menggantikan Zailanni sebagai KPD Sibu dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

Timbalan KPD (Operasi) Johor Bahru Selatan, Superintendan SMM Kumar ke Bukit Aman sebagai Penolong Pengarah Narkotik (Risikan) Zon II JSJN, juga memangku pangkat Asisten Komisioner.

Timbalan KPD Lipis, Deputi Superintendan Ab Rashid Mat Daud sebagai KPD Tumpat dan Timbalan KPD Kemaman, Deputi Superintendan Baharudin Abdullah sebagai KPD Dungun, masing-masing memangku pangkat Superintendan.

Pegawai kanan lain turut bertukar termasuk Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Superintendan Abdul Latiff Mehat sebagai Penolong Pengarah Narkotik (Risikan) Zon II JSJN Bukit Aman dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

Berita Harian X