Isnin, 11 Disember 2017 | 5:05pm
DR Noorazman Mohd Samsuddin.- Foto Zulfadhli Zulkifli

Yayasan MyAqsa cabar Perjanjian Balfour

KUALA LUMPUR: Yayasan MyAqsa akan mencabar Perjanjian Balfour ke Permanent People's Tribunal (PPT) dan bercadang menubuhkan mini Baitulmaqdis (My Aqsa Centre) sebagai tanda solidariti ke atas Baitulmaqdis.

Itu antara dua daripada enam resolusi yang dicapai Forum Antarabangsa MyAqsa bertajuk 100 Tahun Musibah Balfour, di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Empat resolusi lain ialah menggesa semua umat Islam bersatu tanpa mengira latar belakang bagi memperjuangkan Baitulmaqdis; meruntuhkan kekuatan regim Zionis dalam bidang dikuasai mereka seperti ekonomi dan politik; mempersiapkan tiga senjata perang utama; serta mengutuk keras Deklarasi Haram Presiden Donald Trump.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MyAqsa, Dr Noorazman Mohd Samsuddin, berkata pihaknya akan mencabar Perjanjian Balfour yang tidak lebih daripada satu penipuan dan retorik politik.

Katanya, perjanjian itu tidak terikat dengan mana-mana undang-undang, kebertanggungjawaban dan melanggar peraturan dunia serta kemanusiaan.

"Perjanjian Balfour berjaya menipu dunia sehingga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengeluarkan resolusi yang membentuk negara haram Israel di atas tanah rakyat Palestin.

"Kita sudah bincang dengan peguam Islam di dalam dan luar negara untuk mencabar perjanjian ini di mahkamah antarabangsa. Mungkin kita akan kalah, tetapi kita kena berusaha perjuangkan penentu nasib dan masa depan Islam," katanya.

Noorazman berkata, usaha membina kesedaran dan pendidikan terhadap isu Baitulmaqdis perlu ditingkatkan secara konsisten dan media sosial perlu memainkan peranan utama untuk menjamin penyampaian maklumat yang benar.

Katanya, seluruh umat Islam perlu bersatu tanpa mengira latar belakang memperjuangkan Baitulmaqdis, yang milik umat Islam sejagat dan generasi muda perlu mengambil peranan utama di dalam agenda pembebasan Al Aqsa.

"Perjuangan kita tidak akan sempurna tiga persiapan utama iaitu, pembinaan akhlak Islam sebenar, pembentukan platform berstrategik untuk menggabungkan usaha-usaha pembebasan Al Aqsa secara sempurna dan langkah menyatukan hati-hati pertubuhan Islam dan Muslim yang berpecah-belah," katanya.

Noorazman juga mengajak semua pihak bergabung tenaga untuk meruntuhkan Deklarasi Haram Trump melalui Persidangan Meja Bulat 100 Ahli Parlimen Sedunia ke atas Baitulmaqdis dan Persidangan Meja Bulat 100 Ulama Sedunia ke atas Baitulmaqdis.

Berita Harian X