Isnin, 11 Disember 2017 | 3:07pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom merasmikan Forum Antarabangsa MyAqsa bertajuk 100 Tahun Musibah Balfour, di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Osman Adnan

Masjid Wilayah Persekutuan 'masjid angkat' Masjid Al-Aqsa

KUALA LUMPUR: Masjid Wilayah Persekutuan hari ini diumumkan sebagai 'masjid angkat' kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pengumuman itu sebagai tanda solidariti kepada Masjid Al-Aqsa yang kini berdepan ancaman berikutan keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

"Keputusan menjadikan Masjid Wilayah Persekutuan sebagai 'masjid angkat' kepada Masjid Al-Aqsa juga dipersetujui dan amat dihargai oleh pihak masjid berkenaan menerusi sepucuk surat yang diutuskan kepada MyAqsa," katanya ketika berucap merasmikan Forum Antarabangsa MyAqsa bertajuk 100 Tahun Musibah Balfour, di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Surat berkenaan dikirimkan Imam Besar Masjid Al Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Saed Sabri kepada kepada Yayasan MyAQSA, pada 9 Disember lalu.

Jamil Khir berkata, segala aktiviti berkaitan Masjid Al-Aqsa yang dianjurkan di Malaysia akan diuruskan menerusi masjid ini, begitu juga sebaliknya.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Yayasan MyAQSA akan bekerjasama rapat dalam melaksanakan dan merealisasikan program berkenaan.

​"Saya berharap pengisytiharan ini akan memperhebatkan usaha kita untuk membebaskan Masjidil Al-Aqsa dan meredakan sedikit perasaan marah kita susulan pengisytiharan haram Donald Trump.

"Kita wajib bersatu menyokong segala kerajaan dan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan MyAQSA untuk memperjuangkan kebebasan sebenar Masjidil Al-Aqsa. Labbaika Ya Aqsa!," katanya.

Semalam, 11 Disember adalah tarikh signifikan genap 100 tahun Masjid Al-Aqsa dan Palestin dijajah regim Zionis Israel dan lebih tepat lagi, 100 tahun tapak kaki British, melalui General Allenby, menjejakkan kakinya di dalam Masjid Al-Aqsa.

Sejarah penjajahan Baitulmaqdis bermula dengan Perjanjian Balfour 1917, iaitu pelan tindakan bagi perjanjian Skyes Picot 1916 yang mencipta peta baru bagi Asia Barat selepas kekalahan Khilafah Uthmaniyah dalam perang dunia pertama dan negara umat Islam dipecah-pecahkan menjadi negara-negara kecil.

Natijahnya, masyarakat Islam Palestin terpaksa melalui keperitan dan penderitaan sejak usia kanak-kanak sehingga hari ini.

Berita Harian X