Isnin, 11 Disember 2017 | 3:01pm
MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (dua dari kanan) melakukan gimik perasmian Majlis Menandatangani Sijil Jalinan Kolaborasi Di Antara Jabatan Pendidikan Politeknik dengan MMC di Wisma Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim
MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (dua dari kanan) melakukan gimik perasmian Majlis Menandatangani Sijil Jalinan Kolaborasi Di Antara Jabatan Pendidikan Politeknik dengan MMC di Wisma Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

Pusat Industri MMC lahir tenaga kerja berkemahiran tinggi

GELANG PATAH: MMC Corporation Bhd (MMC) menjalin usahasama dengan Jabatan Pendidikan Politeknik bagi menubuhkan Pusat Industri MMC di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dengan matlamat untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi mengikut keperluan industri.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata MMC sebagai konglomerat utiliti dan infrastruktur akan mengambil pelajar politeknik menjalani latihan industri dalam pelbagai projek dilaksanakannya.

Katanya, ia sejajar dengan program Dua Politeknik Satu Industri (2P1i) yang memperkenalkan pelajar dengan gabungan pembelajaran akademik dan sebanyak 40 peratus pembelajaran dalam industri.

"MMC dan kerajaan akan bekerjasama merangka kokurikulum, dan juga dalam kaedah pengajarannya. Pelaksanaan program latihan bukan saja tertumpu kepada pelajar tetapi juga pensyarah supaya kita boleh mewujudkan apa yang dimahukan oleh industri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Sijil Jalinan Kolaborasi Di Antara Jabatan Pendidikan Politeknik dengan MMC di Wisma Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Jabatan Pendidikan Politeknik diwakili Ketua Pengarahnya, Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz, manakala MMC oleh Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.

Menerusi kerjasama itu, Jabatan Pendidikan Politeknik akan menyediakan platform bagi pertukaran maklumat menerusi perbincangan dan persidangan dalam pelbagai bidang khususnya Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrik, Pengurusan Pelabuhan, Perkapalan dan Logistik.

MMC pula menyediakan latihan industri serta peluang pekerjaan kepada pelajar mengikut keperluan industri.

Dalam pada itu, Idris berkata Politeknik di negara ini akan menyusun semula agenda Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET)bagi melaksanakan beberapa program baharu termasuk yang membabitkan teknologi terkini berkaitan Revolusi Industri 4.0..

Katanya, penyusunan semula TVET itu termasuk kurikulum program dan transformasi dalam penyampaiannya serta penilaian semua secara menyeluruh berdasarkan keperluan industri.

"Bagi mentransformasi TVET, fokus khas diberi kepada Revolusi Industri 4.0 bagi melahirkan tenaga kerja berdaya saing bertaraf global.

"Ini kerana tenaga kerja berkemahiran tinggi sangat penting dalam melaksanakan transformasi ekonomi nasional serta merapatkan jurang kemahiran yang berlaku dalam industri sekarang," katanya.

Berita Harian X