Isnin, 4 Disember 2017 | 9:08pm
ANTARA wakil-wakil jemputan dari luar negara pada perasmian WIPKL 2017 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini. - Foto BERNAMA

Fahami Gen Z

KUALA LUMPUR: Latar belakang dan ciri generasi Z atau Gen Z yang cenderung terhadap teknologi dan internet, memerlukan majikan berubah mengikut cita rasa mereka termasuk mempraktikkan corak kerja anjal.

Gen Z dirujuk sebagai generasi terkehadapan dan hidup dalam zaman internet merentasi masa, dilahirkan pada tahun 2000 iaitu sewaktu dunia berdepan konflik ekonomi.

Duta Belanda, Karin Mossenlechner, berkata majikan yang tidak mengikuti rentak itu akan ketinggalan dalam memperoleh sumber tenaga.

Apa yang menjadi kegusaran ramai, katanya, ialah perkembangan teknologi tidak seiring dengan perubahan yang mampu dilaksanakan dalam sektor pekerjaan.

"Majikan harus pantas. Bentuk kerja konvensional seperti dari jam 9 pagi hingga 5 petang tidak lagi sesuai. Mereka gemarkan sesuatu yang anjal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi plenari bertajuk 'Manfaatkan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0): Komuniti dan Gen Z' sempena Persidangan Antarabangsa Women In Politics Kuala Lumpur 2017 (WIPKL 2017) di sini, hari ini.

Sesi berkenaan turut disertai Menteri di Pejabat Perdana Menteri Singapura, Josephine Teo; Prof Madya Perbandingan Politik, Universiti Kentucky, Amerika Syarikat, Dr Emily Beaulieu dan Setiausaha Agung World Assembly of Youth (WAY), Ediola Pashollari.

Persidangan itu memberi tumpuan terhadap peluang dan cabaran pemimpin wanita era millennium dan Gen Z, sekali gus mengenal pasti potensi teknologi digital di samping menghapuskan diskriminasi kumpulan tertentu menerusi kepemimpinan dan perwakilan wanita.

Dalam usaha membangunkan Gen Z, Karin berkata, masyarakat dan kerajaan perlu mengenal pasti potensi dimiliki kerana sebahagian besar kelompok ini tidak gemar bekerja makan gaji, sebaliknya cenderung bekerja sendiri.

"Kecenderungan terhadap teknologi dan gajet memungkinkan mereka terdedah dengan jenayah siber. Justeru saya melihat pihak kerajaan perlu pantas menggubal atau mengubah undang-undang sedia ada berkaitan siber," katanya.

Sementara itu, Pashollari berkata, majikan perlu meluaskan jaringan perniagaan termasuk bersedia menghadapi perubahan.

Sebagai contoh, katanya, industri pertanian tidak memerlukan tenaga manusia yang ramai kerana teknologi membolehkan tanaman diselenggara menggunakan komputer.

"Ada jenama produk elektronik membolehkan kita menekan kekunci pada telefon pintar dan produk yang dicari di pasar raya memberitahu lokasi produk diingini," katanya.

Berita Harian X