Sabtu, 2 Disember 2017 | 7:09pm
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (kiri) menyampaikan cenderahati kepada warga emas dari Tokyo, Jepun, Tadashi Ikeda 69, di Majlis Penutup Persidangan Bahasa dan Persuratan Melayu Merantasi Zaman sempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) Pangkor 2017 di Kejora Garden Resort. - Foto Muhaizan Yahya

Warga Jepun bersemangat pelajari bahasa Melayu

PANGKOR: Selepas lima tahun di Malaysia dan tertarik dengan keramahan serta keunikan rakyat kita bertutur bahasa Melayu, warga Jepun, Tadashi Ikeda, 69, nekad mempelajari bahasa itu walaupun sudah semakin berusia.

Beliau yang tinggal di Mont Kiara, Kuala Lumpur mengakui jatuh hati dengan keindahan bahasa Melayu dan menganggap ia bahasa yang sangat unik dan berbudaya tinggi.

Tadashi menetap di negara ini bersama isteri, Eko Ikesa, 67, dan mempelajari bahasa kebangsaan itu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta The Japan Club of Kuala Lumpur (JCKL).

"Memanglah agak sukar apabila kita sudah biasa dengan bahasa ibunda kita. Bahasa Melayu adalah asing dan memang sukar, ditambah lagi faktor usia yang semakin meningkat.

"Namun, semangat saya sentiasa berkobar-kobar untuk menguasai bahasa ini kerana saya tinggal di negara ini dan wajib mempelajari bahasa kebangsaannya.

"Saya seronok mempelajari bahasa Melayu kerana ada beberapa perkataannya hampir sama dengan bahasa Jepun. Ayat pertama saya pandai sebut adalah 'makanan sedap'.

Warga emas dari Tokyo, Jepun, Tadashi Ikeda 69, pada sesi pembentangan di Majlis Penutup Persidangan Bahasa dan Persuratan Melayu Merantasi Zaman sempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) Pangkor 2017 di Kejora Garden Resort. - Foto Muhaizan Yahya

"Saya gembira kerana dalam masa tiga tahun, sudah boleh bertutur bahasa ini," katanya yang ditemui selepas perasmian penutup Persidangan Bahasa dan Persuratan Melayu Merentasi Zaman sempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) Pangkor 2017 di sini, hari ini.

Majlis penutup disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Tadashi berkata, dia tertarik dengan Malaysia selepas membaca sebuah buku dan mengakui tidak mahu duduk diam selepas bersara lalu mengambil keputusan berhijrah ke negara ini.

"Biarpun begitu, hanya saya tahu bertutur bahasa Melayu, isteri belum boleh bertutur dengan fasih. Ini penyertaan pertama saya di PULARA dan ia sangat menyeronokkan kerana dapat mempelajari perkara baharu.

"Apabila pulang ke Jepun nanti, saya mahu membantu orang Malaysia yang datang ke sana supaya dapat memudahkan mereka mengenali Jepun dengan lebih baik pula," katanya.

Zambry turut memuji usaha Tadashi menguasai bahasa Melayu biarpun baru mempelajarinya.

Katanya, agak memalukan bagi rakyat Malaysia yang belum atau tidak mahu menguasai bahasa kebangsaan sedangkan warga asing juga berminat untuk menguasai bahasa Melayu.

Berita Harian X