Jumaat, 1 Disember 2017 | 11:15am
DATUK Shaiful Hazizy Zainol Abidin.- Foto NSTP/Shahrizal Md Noor
DATUK Shaiful Hazizy Zainol Abidin.- Foto NSTP/Shahrizal Md Noor

UMNO Kedah fokus kekuatan jentera parti

ALOR SETAR: Menghampiri Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dijangka bakal diadakan tahun depan, pergerakan sayap parti akan menekankan isu berhubung jentera parti pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ke-71, minggu depan.

Pemimpin parti UMNO Kedah bersetuju aspek kekuatan jentera harus ditekankan pada ucapan perbahasan PAU nanti bagi memastikan kemenangan menjadi milik Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 kelak.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata UMNO seharusnya menumpukan perhatian kepada pilihan raya bukannya pemilihan parti, apatah lagi masih wujud beberapa bilik gerakan pemilihan yang belum ditutup meskipun sudah ditegur Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Kita akan bawa perkara itu pada PAU kelak selain kita turut akan membawa isu perubahan demografi dan landskap politik negara yang makin berubah di mana menyaksikan peningkatan pengundi muda.

"Justeru pemuda UMNO akan mohon kerajaan menggandakan lebih tawaran untuk anak muda di dalam setia polisi dan rancangan pembangunan," katanya kepada BH.

Pada masa sama, Shaiful Hazizy berkata, Pemuda UMNO Kedah akan mengutarakan beberapa pendekatan tertentu untuk anak muda luar bandar yang dilihat masih menjadi penyokong kuat BN.

Katanya, kerajaan seharusnya memberi penumpuan yang tinggi kepada anak muda luar bandar yg boleh dikatakan sbg 'fix deposit' untuk mengekalkan sokongan pada PRU nanti.

"Pemuda UMNO Kedah juga akan memberi gambaran akan senario politik pasca Mukhriz yang lebih dinamik dan bertenaga di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Berkongsi pandangan sama, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Kedah, Datuk Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah, berkata pihaknya akan menekankan aspek perpaduan dalam jentera parti demi memastikan kekuatan UMNO mantap mengharungi peperangan dalam PRU nanti.

Selain itu, katanya pihaknya juga akan memohon peluang untuk diberikan kepada golongan wanita diketengahkan sebagai calon nanti.

Sehingga kini di Kedah, katanya sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan kerusi di negeri ini yang dipertandingkan dalam PRU diberikan kepada golongan wanita.

"Saya lihat perpaduan UMNO Kedah sendiri sememangnya kuat untuk berhadapan dalam PRU kelak dan ia mesti dikekalkan.

"Jadi mesej ini akan disampaikan kepada Presiden parti kelak...selain tanggungjawab kita menangkis fitnah dan dakyah dari pembangkang, " katanya.

Selain itu, Naib Pergerakan Ketua Puteri UMNO Kedah, Suriati Che Mid berkata, pihaknya akan membahaskan mengenai peranan puteri dalam menguatkan jentera parti.

"Kita akan tekankan betapa penting program penambahan ahli yang kita jalankan termasuk sembang santai untuk menarik lebih ramai golongan muda sertai UMNO, " katanya.

Berita Harian X