Rabu, 29 November 2017 | 4:41pm
ALIES melancarkan Servis Terbaik sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Tun Hussien Onn hari ini. Turut hadir Pengarah PWTC Datuk Seri Irmohizam Ibrahim (kiri). - Foto BERNAMA
ALIES melancarkan Servis Terbaik sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Tun Hussien Onn hari ini. Turut hadir Pengarah PWTC Datuk Seri Irmohizam Ibrahim (kiri). - Foto BERNAMA

PWTC janjikan kelancaran PAU 2017

KUALA LUMPUR: Bagi menghadapi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017, pengurusan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) giat menjalankan persiapan sejak dua bulan yang lalu untuk memastikan acara berjalan dengan lancar.

Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Shamsul Kamar Ahmad, berkata sebagai tuan rumah beliau berasakan PAU 2017 lebih mencabar malah akan lebih meriah berbanding tahun sebelumnya.

Justeru, lebih 2,000 petugas tetap dan sambilan dijangka bertugas sepanjang lima hari berlangsungnya PAU 2017 iaitu dari 5 hingga 9 Disember ini.

"Ada beberapa perkara yang perlu kita pertingkatkan. Namun, PWTC sememangnya mementingkan mutu perkhidmatan dan keselamatan.

"Malah persediaan lain yang kita lakukan adalah menyediakan ruang dewan yang lebih besar untuk media. Ini kerana, kita menjangkakan kehadiran media yang lebih ramai untuk membuat liputan kali ini," katanya.

Malah dari segi keselamatan, Shamsul berkata, pihaknya menempatkan 100 anggota keselamatan tetap yang akan turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 400 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Kali ini kita turut menempatkan empat pengimbas badan dan pengesan logam di pintu masuk utama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Ikrar Perkhidmatan Terbaik membabitkan 337 warga kerja PWTC sempena PAU 2017.

Yang turut hadir, Pengerusi PWTC, Tan Sri Dr Alies Anor Abdul.

"Majlis ikrar ini diadakan untuk kita menekankan dan menampilkan perkhidmatan terbaik. Bukan saja untuk PAU 2017 tapi juga membabitkan seluruh pentadbiran dan pengurusan PWTC dalam usaha untuk menjadi pusat konvensyen terbaik di negara," katanya.

Sementara itu, Shamsul berkata, sempena PAU 2017, pihaknya menjangkakan perlu memenuhi kira-kira 120,000 hidangan yang dipertanggungjawabkan kepada Cef Eksekutif PWTC, Cef Suzaini Mohamed Salih.

"Kali ini juga, PWTC turut membuka Kafeteria Rakyat yang mana pengunjung dapat menikmati hidangan lengkap pada harga RM6," katanya.

Berita Harian X