Jumaat, 24 November 2017 | 7:29am

Angin kencang, laut bergelora hingga Isnin

KUALA LUMPUR: Angin kencang Timur Laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (11 kaki) dijangka berlaku di kawasan perairan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak hingga Isnin ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) melaporkan kawasan terbabit adalah di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Labuan dan Sabah (Pantai Barat, Pedalaman, Kudat dan Sandakan).

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Sementara itu, ribut petir di perairan Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sarawak turut dijangka berterusan sehingga pagi ini.

Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak boleh mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (11 kaki) dan berbahaya kepada bot kecil.

Berita Harian X