Khamis, 23 November 2017 | 4:34pm
MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong. - YazitRazali
MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong. - YazitRazali

Malaysia mahu tubuh Jawatankuasa Khas Ekonomi Teknikal Sawit

Kuala Lumpur: Kerajaan bercadang menubuhkan Jawatankuasa Khas Ekonomi dan Teknikal Sawit antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) bagi mengimbangi perbahasan berkenaan isu minyak sawit.

Penubuhan Jawatankuasa Khas berkenaan penting untuk memperkasakan peranan perwakilan kedutaan negara EU di Malaysia bagi memastikan maklumat disebarkan ke negara EU adalah tepat dan tidak berat sebelah.

Cadangan penubuhan Jawatan Kuasa Khas itu dinyatakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong selepas pertemuan khas bersama seorang Ahli Parlimen EU, MEP Daniel Hannan, di Kuala Lumpur pada 17 November lalu.

Siew Kong berkata, cadangan penubuhan jawatankuasa khas itu membuktikan keterbukaan dan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia untuk bekerjasama dengan negara EU dalam isu berkenaan pembangunan sektor sawit secara lestari serta mampan.

"Publisiti negatif berterusan berkenaan minyak sawit bakal merencatkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara yang bergantung kepada eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit.

"Tindakan ini juga akan menjejaskan permintaan terhadap minyak sawit global dan bakal memberikan impak negatif secara tidak langsung terhadap kejatuhan harga komoditi sawit dunia.

"Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) dan agensi berkenaan sawit mengambil perhatian serius perkembangan semasa di Parlimen EU dan akan terus komited untuk membela kepentingan lebih 650,000 pekebun sawit dalam negara," katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, semalam.

Siew Keong berkata, Malaysia dan EU bakal dianggotai perwakilan khas daripada kedutaan negara-negara EU di Malaysia, bagi mengimbangi perbahasan berkenaan isu minyak sawit.

Beliau turut menyertai delegasi rasmi Kerajaan Malaysia ke Rundingan Tahunan antara Malaysia dan Indonesia ke-12 yang berlangsung di Kuching, Sarawak pada 22 November lalu.

Pada mesyuarat tahunan itu, delegasi Malaysia diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak membangkitkan isu berkenaan sekatan perdagangan sedang hangat dibahaskan ahli EU terhadap minyak sawit.

Siew Keong menyifatkan kenyataan bersama Perdana Menteri dan Presiden Republik Indonesia menjadi lambang pendirian kukuh serta bertepatan bagi mempertahankan kepentingan sektor sawit kedua-dua negara.

"Pada persidangan itu, Perdana Menteri menegaskan Malaysia dan Indonesia bersedia serta bersetuju menggunakan segala platform yang ada untuk memastikan tindakan Ahli Parlimen EU itu dapat dikekang secara saksama.

"Saya menyeru Ahli Parlimen EU menilai semula pendirian mereka terhadap sektor sawit kerana tindakan mendiskriminasikan sawit bertentangan dengan komitmen EU terhadap prinsip perdagangan bebas Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

"Ia juga bakal menggugat hubungan baik antara EU dan negara pengeluar minyak sawit dunia, terutama Malaysia dan Indonesia," katanya.

Berita Harian X